Dakwaan Wujud Puak-Puak Dalam UMNO Hanya Usaha Untuk Pecah Belahkan Parti

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Desas-desus mengenai wujudnya puak-puak dalam UMNO adalah tidak benar dan ianya merupakan usaha untuk memecah-belahkan UMNO daripada dalam.

Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, mainan ini dimainkan oleh pembangkang kerana untuk memecah belahkan UMNO dari luar adalah susah.

“Mereka nak laga-lagakan Presiden dengan Perdana Menteri (PM). Sedangkan PM dengan presiden ini ada tugas… presiden jaga parti, PM jaga negara dan PM termasuk dalam lima orang ‘top five’ yang selalu berbincang. Tapi, yang tidak ada kena mengena adalah orang luar, mereka ini sengaja (buat cerita).

“Cuba kita tengok berita keluar daripada mana? Kita tahu, daripada yang bukan-bukan tu bertujuan untuk melaga-lagakan. Oleh sebab itu, jangan pandang negatif kepada UMNO dan pemimpin UMNO. Apa-apa kita dengar dari keburukan kadang-kadang kita kena kaji dulu sebab ni zaman fitnah ni, rosak kita besok,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, Pengerusi Tetap Veteran UMNO, Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz turut menafikan wujudnya puak-puak yang tertentu dalam UMNO.

“Pemimpin kita dah mengingatkan bahawa mereka masuk ke dalam (parti) untuk memecahkan dari dalam. Yang keduanya, dulu, bila kita tak ada kuasa orang tak nampak kita. Sekarang ni dah nampak sikit-sikit, mulalah mereka nak terkam balik. Dari segi berpuak saya nafikan. Di peringkat akar umbi tidak berganjak.

“Sebab itu selepas pilihan raya, kita kalah teruk, hilang kuasa, total… kita cuma ‘bernyawa’ di Perlis dengan di Pahang saja, lain negeri semua kita kalah… tapi tidak ada satu cawangan UMNO pun yang dibubarkan. ‘This is UMNO’,” katanya.

Katanya lagi, beliau menafikan secara penuh wujudnya puak-puak seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Saya menafikan total sama ada daripada Sabah sampai la ke Perlis, tidak ada, dan malahan saya cukup gembira hari ini keintiman antara presiden dan timbalan presiden bagaikan isi dengan kuku,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.