Pendedahan UKSB Bukti Presiden UMNO Jadi Mangsa Pendakwaan Terpilih – Zaidy

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Khas dan bebas ditubuhkan bagi menyiasat kes sumbangan politik oleh Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang disebut dalam Mahkamah Tinggi semalam.

Ketuanya, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata ianya perlu supaya keadilan dapat ditegakkan sekali gus dapat merungkai persoalan rakyat mengenai kes ini.

“Jika semua yang dikatakan menerima dana itu bersalah, dakwalah mereka semuanya dan bukannya bersifat memilih dalam pendakwaan.

“Janganlah hanya kerana Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu musuh politik sesetengah parti, beliau diperlakukan begitu. Adakah itu keadilan yang kita mahukan?” katanya menerusi satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Jelas beliau, ini adalah bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada sistem keadilan negara.

“Mereka cuba menanam persepsi kepada rakyat kononnya hanya Presiden UMNO inilah yang paling teruk dan korup. Sudah terang lagi bersuluh, pendakwaan terpilih ini dilakukan semata-mata kerana mahu membunuh kredibiliti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Namun, yang menjadi persoalan adalah, mengapakah hanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa dan disiasat? Bukankah ini secara jelas membuktikan wujudnya pendakwaan terpilih di negara kita dan ia dibuat semata-mata untuk mengaibkan Presiden parti dan UMNO itu sendiri,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, pendedahan demi pendedahan yang dibuat di Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenai penerima dana dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) membuktikan bahawa wujudnya pendakwaan terpilih dan ia secara spesifik mensasarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujarnya, terdapat beberapa lagi nama pemimpin politik disebut di dalam mahkamah berdasarkan buku rekod lejar yang ada pada saksi dan salah seorang daripadanya adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhamad.

“Menerusi keterangan saksi yang merupakan Pengurus Pentadbiran UKSB ketika itu iaitu David Tan Siong Sun wang berkenaan disalurkan kepada Tun Dr. Mahathir menerusi anak saudaranya iaitu Tan Sri Rahmat Abu Bakar.

“Ini bukan kali pertama nama pemimpin politik disebut oleh saksi di dalam kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu, sebelum ini pun nama-nama seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal juga dikatakan antara orang politik yang menerima dana daripada syarikat berkenaan,” tegasnya lagi. – UMNO Online


@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.