Lebih Baik Pas Siap Siaga Jadi ‘Pembangkang’ – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin terpanggil untuk melontarkan pandangan berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan sasarannya untuk memerintah Kedah sendiri.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Shaiful Hazizy berkata, hakikatnya mereka sememangnya sudah lama bersedia untuk tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan ini menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang atas beberapa sebab.

“Pertama, kerajaan ini adalah kerajaan pengumuman, kerajaan spin dan tak ‘genuine’, tidak meletakkan rakyat sebagai prioriti utama, setiap pengumuman adalah bertujuan untuk menaikkan ‘rating’ dan ‘populariti’ semata-mata

“Kedua, kerajaan ini adalah kerajaan yang tidak ‘seimbang’, mempunyai kecenderungan menyisih dan mengenepikan sesuatu kaum atas kepentingan untuk terus berkuasa,” katanya.

Menurut Shaiful Hazizy lagi, kerajaan ini adalah kerajaan yang tidak jujur serta mempunyai menteri besar yang tidak membawa imej yang harmoni.

“Kerajaan ini (Kerajaan Negeri Kedah) adalah kerajaan yang tidak jujur dan bercakap benar, sering mahu menutup kesalahan dan keaiban yang mereka sendiri lakukan pada masa yang lalu.

“Terakhir sekali, kerajaan ini mempunyai menteri besar yang tidak membawa imej yang harmoni dan boleh diterima semua pihak, sebaliknya lebih kepada imej yang tidak professional, suka bergaduh, cakap lepas, dan cenderung menggunakan tangisan bagi meraih simpati,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan Abdul Hadi supaya bersiap siaga menjadi pembangkang yang baik.

“Akhir kata, nasihat saya kepada YB Dato Seri Hadi, daripada bersiap sedia untuk mentadbir kerajaan secara sendiri, lebih baik Pas berlatih dan bersiap siaga menjadi ‘pembangkang’ yang baik.

“Hakikatnya Barisan Nasional akan bersiap sedia dan berusaha sehabis baik untuk kembali menjadi kerajaan yang lebih stabil dan bersifat mesra rakyat. Rakyat kali ini juga tidak akan mudah terpedaya semata-mata dengan tangisan, air mata ataupun sentimen siapa yang lebih jahil atau tidak,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.