Terima Sejumlah RM1.162 Juta, Dakwaan Tidak Benar Sama Sekali – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menafikan dakwaan kononnya telah menerima sejumlah RM1.162 juta dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia turut merujuk kepada artikel Free Malaysia Today yang diterbitkan pada hari ini, bertajuk “Shahril, ex- MCA ministers received RM10 mil from UKSB, court told”.

Tegasnya, dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali.

“Saya juga merujuk kepada terbitan artikel Malay Mail bertajuk “Umno’s Shahril Hamdan, MCA leaders named as recipients of UKSB’s political funding contribution in Zahid’s corruption trial”.

“Antara lain, artikel-artikel tersebut menyatakan bahawa ketika keterangan diberi oleh seorang saksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di kes perbicaraan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, saya kononnya telah menerima sejumlah RM1.162 juta dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

“Saya menegaskan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali.”

Malah, beliau juga memaklumkan tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan lejar yang kononnya mengandungi nama ‘S Pat’ mahupun kandungan lejar tersebut.

“Saya selanjutnya menyatakan bahawa saya bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam apa jua keadaan sekalipun berkenaan perkara ini,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Terdahulu dilaporkan, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Shahril, bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Ong Ka Chuan turut diberi sumbangan politik oleh Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika lejar syarikat tersebut dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) hari ini.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata pihaknya memberi sumbangan politik masing-masing berjumlah RM1.162 juta kepada Shahril Sufian, Chan (RM7.85 juta) dan Ong (RM922,820).

Beliau berkata kod nama yang digunakan di dalam buku lejar tersebut bagi merujuk ketiga-tiga ahli politik itu adalah ‘S Pat’ untuk Shahril Sufian, Chan (‘Prof’) dan Ong (‘OKC’). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.