PH Cuba Buktikan Tidak Gagal Tapi Rakyat Lebih Bijak Menilai – Razlan

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii berpendapat Pakatan Harapan (PH) cuba untuk menidakkan kegagalan mereka mentadbir negara selama 22 bulan sebelum ini dan cuba untuk memutihkan suasana.

Jelasnya, sekiranya mereka tidak berjaya untuk mengalihkan isu kegagalan ini yang terletak di bahu perdana menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohammad, mereka perlu menanggung segala kegagalan yang telah dicipta sepanjang tempoh tersebut.

“Ini juga sebenarnya telah terbukti bahawasanya Anwar Ibrahim mengakui kerajaan selama 22 bulan itu gagal. Anwar Ibrahim yang gagal tapi kalau kita nak tengok pemain-pemain media sosial di luar sana yang pro kepada PH, mereka memberi alasan, dia kata kita hanya memerintah selama 22 bulan, apa yang kita boleh buat?

“Tetapi dengan kenyataan Anwar ini, telah membuktikan bahawasanya kegagalan 22 bulan itu adalah sahih. Anwar Ibrahim sendiri mengakui bahawasanya 22 bulan ini adalah kerajaan yang gagal. Jadi, kalau mereka tidak berjaya mengalihkan isu ini, maksudnya mereka akan gagal selama-lamanya. Selama-lamanya mereka akan gagal,” katanya semasa sesi wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online pada Rabu.

 

Menurutnya lagi, kebangkitan rakyat hari ini adalah yang akhirnya sedar dengan janji-janji palsu ditaburkan oleh PH.

“Saya suka sangat melihat apabila rakyat bangkit semula untuk menjawab apa yang telah dinyatakan oleh pemimpin-pemimpin PH. Sebelum PRU14 kita lihat ada banyak, apabila janji-janji itu dibuat, formula-formula Rafizi buat, ramai rakyat yang nampak macam okay, bagus, baik, boleh diterima dan diguna pakai.

“Dan apabila kita melihat cara mereka mentadbir kerajaan ini, automatik rakyat sedar dan rakyat tahu bahawasanya ianya adalah satu janji-janji yang tidak boleh dipegang dan juga ditunaikan. Alhamdulilah hari ini kita tengok kebangkitan rakyat sendiri, netizen sendiri yang menempelak mereka bahawasanya ada banyak perkara yang sepatutnya mereka lakukan tetapi mereka tak lakukan,” katanya.

Razlan turut menambah, mungkin Anwar Ibrahim cuba untuk menjadi hero bagi menjernihkan semula reputasi PH yang telah rosak selama 22 bulan.

“Mungkin Anwar Ibrahim nak menjadi hero, dia nak jadi hero seorang. Rafizi hilang dua tahun, dia biarkan kerajaan begitu sahaja … adalah dia tweet sikit-sikit untuk memuji kerajaan 22 bulan. Tetapi akhirnya hari ini kita lihat banyak perkara yang dilaksanakan sebanyak 22 bulan itu adalah membawa bahana kepada negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.