Kesungguhan Jentera BN Pulau Pinang Dipuji, Kekal Iltizam Tinggi Untuk PRU15

TASEK GELUGOR, 25 Julai – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meluahkan kesyukuran apabila melihat kekuatan jentera Pulau Pinang yang bersemangat melakukan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, meskipun negeri ini ditadbir oleh Dap di bawah Pakatan Harapan (PH) namun jentera parti gabungan ini tidak berputus asa bagi memastikan pulau mutiara ini mencipta sejarah kembali kepada BN.

“Meskipun negeri pembangkang tapi semangat ditunjukkan dengan winning mentality yang ada pada semua, insya-Allah… kena ingat seperti mana yang disebut Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan kata politik tidak ada satu yang mustahil.

“Kita berbangga dengan usaha yang dilakukan sejak pagi ke petang ditunjukkan satu komitmen sangat tinggi untuk kita pastikan bahawa pilihan raya akan datang BN akan capai kemenangan.

“Bukan hanya peringkat nasional sama-sama doakan negeri Pulau Pinang mencipta satu sejarah baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Pulau Pinang yang berlangsung di Pusat Konvensyen Perda, Tasek Gelugor dihadiri Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi BN Pulau Pinang merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Musa Sheikh Fadzir, semalam.

Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan serta kepimpinan lain.

Sementara itu, Musa menerusi ucapan beliau juga berkata bahawa BN negeri telah melaksanakan gerak kerja sebaiknya bagi menghadapi PRU-15.

Menurut beliau, semangat dalam kalangan jentera akar umbi juga pada tahap terbaik walaupun pelbagai pihak mahu melihat parti-parti dalam gabungan ini terkubur terutama selepas kekalahan pada PRU-14 lalu.

“Ada orang kata nak kuburkan UMNO, MCA, MIC tapi kita lihat PRU-15 hendak kuburkan siapa… insya-Allah dengan semangat yang ditunjukkan ini kita akan teruskan untuk pastikan bahawa BN akan peroleh kemenangan cemerlang.

“Dengan adanya pelancaran ini kita akan balik ke pusat daerah mengundi (PDM) masing-masing dan menjalankan tugas… saya yakin dan percaya jentera PRU BN Pulau Pinang telah pun bersiap sedia,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.