PRU-15: Tanam Keyakinan, Tingkatkan Solidariti Dalam Parti – Mahdzir Khalid

ALOR STAR, 24 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan ahli serta jentera parti perlu menanam keyakinan yang tinggi di dalam diri masing-masing untuk parti mencapai kemenangan kelak.

Jelas beliau itu adalah asas utama dalam usaha menggerakkan parti selain solidariti yang kuat di pelbagai peringkat.

“Pertamanya kita mesti mempunyai keyakinan tinggi untuk hadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15. Keyakinan ini datang daripada pimpinan negeri. Kita kena yakin kita boleh menang untuk yakinkan ahli kita.

“Tanya pula semua komponen boleh menang…maka kita kita boleh menang…insya-Allah. Jangan kita kata 50-50 dan sebagainya. Melihatkan hari ini kita nampak ramai yang hadir dan ada kesungguhan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama jentera BN Kedah di sini, Sabtu.

Turut serta Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pimpinan pusat serta negeri yang lain.

Mahdzir seterusnya menegaskan jentera yang kuat dan bersatu padu juga adalah kunci kepada kemenangan kelak.

“Kita juga mahukan jentera yang kuat..termasuklah semua parti komponen..semua nak pergi cari pengundi dan Jalinan Rakyat (JR) serta teamnya masing-masing melaksanakan tanggungjawab. 

“Seterusnya solidariti sesama kita…macam-macam di media sosial main dan pembangkang main untuk adu domba kita sehingga ke peringkat atas seolah-olah nak gambarkan BN berpecah dan sebagainya.

“Sedangkan hakikat yang sebenarnya adalah kita pimpinan atasan sering bersama dan sentiasa berbincang untuk kepentingan parti. Jangan biarkan pihak lain adu domba sesama kita…atas nama solidariti parti….percayalah kalau kita ada solidari tengok macammana di Melaka, Johor,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan kehadiran jentera pada program itu amat memberangsangkan dan ianya adalah lambang kepada usaha untuk membantu parti mencapai kemenangan nanti.

“Saya minta jentera di pelbagai peringkat agar masing-masing bekerja keras, tautkan hati kita tidak kira apa bangsa belajar kekalahan di Kedah, Putrajaya dan marilah kita gembleng tenaga di bawah satu payung BN untuk capai kemenangan.

“Insya-Allah kita akan bergerak sederap dalam satu barisan kepimpinaan sebagai nyalaan obor untuk capai kemenangan pada PRU-15 nanti,” tambahnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.