Adu Domba, Hasutan & Himpunan Pembangkang Tanda PRU15 Semakin Hampir

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berpandangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah semakin tiba memandangkan pihak pembangkang semakin terdesak untuk memenangi.

Katanya, bermula dengan hasutan turun ke jalanan, siri-siri laporan polis, kempen-kempen membenci kerajaan seperti yang dilakukan sebelum PRU-14, kini pihak pembangkang semakin agresif untuk merampas kembali kerajaan pada PRU-15 nanti.

“Saya sekadar ingin mengingatkan diri saya dan berpesan kepada rakyat, agar tidak lagi termakan dengan janji-janji manis pembangkang, hasutan dan pelbagai kempen yang dijalankan oleh pihak pembangkang dengan menggunakan cybertrooper, mahasiswa mahasiswi pro pembangkang dan kumpulan-kumpulan yang sememangnya menjadi penyokong tegar pembangkang.

“Perlu kita sedar, isu-isu yang sedang dimainkan mereka, sebenarnya mereka sendiripun tiada formula untuk menyelesaikannya. Termasuklah isu kenaikan harga barang, minyak dan krisis inflasi yang melanda seluruh dunia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ulasnya, beliau tidaklah menyatakan bahawa kerajaan kini sempurna, tetapi semua harus bersyukur kerana negara kini dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) yang terpaksa mengambil alih tampuk pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang porak peranda merebut kuasa dan gopoh membalas dendam kepada BN.

“Mereka bukan nak mentadbir negara dengan baik dan membantu rakyat, tetapi telah meranapkan kepercayaan dan peluang yang telah diberikan,” bidasnya.

Jelasnya lagi, walaupun BN tidak sempurna mana, rakyat wajib sedar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kepimpinan kini sedaya upaya menstabilkan ekonomi negara.

“…dan pada masa yang sama, mengawal kadar inflasi yang telah menjejaskan ekonomi seluruh dunia.

“Dengan subsidi RM77 bilion dan pelbagai inisiatif dalam memperkasa bantuan sara hidup agar tiada seorangpun yang tertinggal,” katanya.

Seterusnya, beliau juga menyarankan agar kerajaan dan BN jangan alpa dengan kuasa yang ada.

“Sebaliknya gunakan kuasa yang ada dengan sebaiknya dengan terus turun ke bawah mempelbagaikan aktiviti dan sokongan ke segenap lapisan masyarakat.

“Jangan bagi ruang pembangkang menggunakan isu-isu lapuk dan memutarbelit kenyataan yang menyebabkan rakyat termakan dengan hasutan,” tambahnya.

Justeru beliau yakin dan percaya PRU-15 nanti sekiranya BN ingin mendominasi tampuk kepimpinan negara, jangan diberi ruang kepada PH dan pembangkang memperdaya rakyat.

“Yakinkanlah rakyat dengan manifesto yang benar dan bukan retorik. Berlakonlah dan bantulah sebaik manapun, kalau ianya bukan benar, rakyat kini bijak dan tidak akan termakan dengan kata-kata serta janji yang tidak logik,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.