Mohamad Garis 3W, Agenda Penting Jentera Hadapi PRU-15

KANGAR, 23 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menggariskan 3W sebagai persediaan bagi parti untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas beliau, 3W itu adalah meliputi winning mentality (pemikiran menang), winning strategy (strategi menang) dan winning move (gerak kerja menang).

“Mentaliti untuk menang sudah ada kemudian kena ada strategi untuk PRU kalau tak diaplikasi belum tentu kemenangan berpihak kepada kita jadi mesti jaga tiga perkara ini.

“Siap siaga untuk menang kalau nak berlaga mesti buat betul-betul… berlaga ayam kena yang jantan kembang tengkuk, baru boleh kalau setakat ayam basah kena air kuncup baik tak payah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Jentera Pilihan Raya (BN) Negeri Perlis di Dewan Warisan Kangar, di sini Jumaat.

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi BN Perlis merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon serta kepimpinan lain.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO malah turut menyifatkan jentera Wanita iaitu Jalinan Rakyat (JR) sebagai penyuluh kepada parti dalam melakukan gerak kerja.

Katanya ini kerana, segala maklumat yang diperoleh oleh JR memainkan peranan untuk merangka strategi parti.

Mengulas lanjut beliau berkata meskipun Perlis ditadbir oleh BN pada ketika ini namun ianya bukan jaminan untuk parti sewenang-wenangnya berlapang dada untuk berhadapan dengan PRU15 ini.

“JR main peranan dan buka pusat daerah mengundi (PDM) masing-masing untuk bergerak dan pasti buat kerja ke arah menang PRU kerana kami di ibu pejabat dapat apa yang anda buat we are at the blind jadi JR lampu suluh, pelita dalam kegelapan.

“Saya perlukan angka yang tepat untuk strategi bagi memastikan BN menang jangan ingat kita tak boleh kalah, silap besar kerana siapa sangka kerajaan persekutuan boleh kalah termasuk juga Johor, Negeri Sembilan meskipun bermacam-macam kita buat tapi itu yang berlaku,” ujar beliau.

Sementara itu beliau ketika ditemui pada sidang media juga turut mengulas berkenaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai permohonan pindaan Perlembagaan parti.

Katanya, RoS tidak mempunyai alasan untuk menolak kerana parti telah memenuhi segala kehendak dan peraturan jabatan itu bagi membolehkan pindaan tersebut diluluskan.

Bagaimanapun pada masa sama beliau berkata UMNO akan menunggu maklum balas RoS berhubung keputusan sehingga awal Ogos ini dan tindakan selanjutnya akan diambil mengikut proses ditetapkan.

“UMNO telah memenuhi segala kehendak dan peraturan RoS dengan melakukan mesyuarat agung tahunan (AGM), menyediakan minit mesyuarat, senarai kehadiran dan sebagainya. Jadi tak ada isu kita tak ikut perlembagaan

“Kalau pindaan itu diluluskan alhamdulillah namun kalau tidak pun kita akan rayu kepada menteri. Itu prosesnya tetapi kita tak boleh menunggu lama sebab kita akan tersepit kerana edah pemegang jawatan parti hanyalah sehingga akhir Disember nanti,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.