BN Tetap Unggul Bawa Aspirasi Perjuangan Rakyat – Azlan

KANGAR, 23 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Azlan Man berpandangan gabungan parti ini mempunyai keistimewaannya tersendiri dalam mendukung aspirasi perjuangan rakyat Malaysia.

Justeru itu katanya kemenangan BN adalah suatu yang penting untuk dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) demi membawa kemakmuran kepada negara.

“Saya yakin kita ada di atas landasan sangat kukuh tidak ada perpecahan dalam parti-parti, BN tetap suatu parti yang unggul diwakili semua kaum utama Malaysia iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain.

“Kita berdiri sebagai satu barisan untuk hadapi peperangan PRU-15 semoga apa yang dilakukan ini akan tempah kejayaan untuk tebus kekalahan pada PRU-14,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Jentera Pilihan Raya (BN) Negeri Perlis di Dewan Warisan Kangar, di sini Jumaat.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon serta kepimpinan lain.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berharap rakyat tidak terpedaya dengan helah yang dimainkan pembangkang yang seringkali memainkan sentimen mengelirukan.

Azlan berkata ini termasuk mengatakan kerajaan Persekutuan ketika ini adalah sepenuhnya di bawah BN.

“Kerajaan sekarang bukan BN tapi PN 2.0, Perdana Menteri sahaja daripada BN termasuk sembilan menteri jangan salah anggap ini adalah BN seperti diwar-warkan oleh musuh.

“Mereka sengaja hendak tunjukkan kelemahan… ianya tidak benar sama sekali kita harus membersihkan diri dari pemikiran sebegini jadi jangan termakan dengan pengaruh dan dakyah musuh,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.