Selepas PRU14, Hutang Kerajaan Bertambah Pada Kadar Lebih Sekali Ganda Lebih Laju – Najib

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Hutang kerajaan benar-benar telah mencecah RM1 trilion setakat Jun tahun 2022.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara ini berlaku dalam tempoh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berbanding saiz RM686.8 bilion sebelumnya.

“Pagi tadi, Menteri Kewangan memberitahu parlimen bahawa hutang negara telah naik ke RM1.045 trilion atau 63.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat Jun tahun 2022 ini.

“Ini bermakna hutang negara telah naik RM358.3 bilion manakala saiz ekonomi cuma naik RM275 bilion sahaja dalam tempoh 4 tahun di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selepas PRU14. Nisbah hutang pula naik dari 50.0% ke 63.8%,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa dalam tempoh sembilan tahun beliau menjadi perdana menteri, saiz ekonomi bertambah RM69.4 bilion atau naik berganda tetapi jumlah hutang kerajaan naik kepada RM324.4 bilion.

“Nisbah hutang kepada KDNK pula telah turun dari 50.9% ke 50.0% dalam tempoh itu. Jadi, mereka dari pihak sebelah sana yang asyik kata Najib cuma tambah hutang sehingga negara nak bankrap patut faham bahawa jumlah hutang kerajaan bertambah pada kadar lebih sekali ganda lebih laju.

“Selain itu, nisbah hutang telah melonjak naik berbanding penurunan dalam tempoh saya menjadi perdana menteri dan hutang kerajaan benar-benar cecah RM1 trilion dalam tempoh selepas PRU14 berbanding saiz RM686.8 bilion sebelum PRU14.

“Nota kepada orang PKR: Sila sanggah dan buat laporan polis sekiranya saya menipu,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.