Rakyat Kecewa Dengan PH Kerana Janji Manis, UMNO/BN Terang Berfakta Menangi PRU15 – Mustapha

SEREMBAN, 21 Julai – Rakyat begitu kecewa kepada Pakatan Harapan (PH) berikutan sebelum ini mereka dimomokkan dengan pelbagai janji manis.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor berkata, rakyat sudah lihat apa yang terjadi pada negara apabila PH memimpin kerajaan selama 22 bulan dan kemudiannya Perikatan Nasional (PN) 17 bulan.

“Rakyat sudah tahu perbezaan antara BN yang membawa kestabilan berbanding dengan PH dan PN,” katanya. 

Maka keraa itu, beliau meminta agar jentera parti khususnya penceramah mempersiapkan diri dengan berbagai-bagai maklumat serta info-info yang terkini agar dapat menyampaikan mesej kepada rakyat.

“Kita bercakap perkara yang benar, beri penjelasan kepada rakyat supaya rakyat memberikan peluang kembali pada UMNO/Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong berharap agar penceramah dapat menyampaikan ceramahnya dengan penuh fakta dan bukannya memfitnah.

“Kita perlu bercakap dengan betul dan berfakta serta kena ada persediaan yang rapi, bukannya ‘hentam keromo’, memfitnah dan berbohong. Itu bukan budaya UMNO dan cara BN.

“Kita nak penceramah-penceramah dilengkapkan dengan maklumat, info-info yang mantap supaya mereka dapat menyampaikan mesej ini kepada rakyat bahawa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ini, UMNO/BN mesti diberikan mandat kembali untuk memimpin kerajaan.”

Ujarnya, selain daripada membuat penerangan secara bersemuka Penerangan UMNO Negeri Sembilan juga telah memperhebatkan pendekatan melalui media sosial.

“Sebab itu ceramah-ceramah yang akan dibuat oleh Penerangan UMNO Negeri Sembilan selain daripada berceramah secara bersemuka kita juga lakukan secara maya menggunakan Facebook.

“Apabila menggunakan siaran melalui Facebook maka akan ramai mendengar ceramah dari penerangan UMNO negeri Sembilan. Kami sentiasa bersedia sekiranya penceramah akan berhujah dihadapan ‘audien’ yang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup program seminar penceramah-penceramah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Penerangan UMNO Negeri Sembilan, di bangunan Wisma UMNO Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan; Timbalan Pengerusi BPUN Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lassim; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Hizatul Isham Abdul Jalil serta kepimpinan UMNO seluruh bahagian Negeri Sembilan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.