Malang Rakyat Ampang Dapat Ahli Parlimen Suka Melompat – Izwan

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ampang, Izwan Hamzah yakin dan percaya pengundi khususnya di Ampang marah kepada Ahli Parlimennya, Datuk Zuraida Kamaruddin kerana mengkhianati amanah dan juga kepercayaan pengundi di kawasan tersebut.

Jelasnya, beliau menyifatkan orang-orang yang suka melompat ini munafik kerana tanggungjawab dan amanah telah diberikan berdasarkan parti yang beliau menang pada ketika itu.

“Isu Datuk Zuraida Kamaruddin ni kita sedia maklum beliau pernah menjadi ahli PKR. Kemudian beliau claim sewaktu ‘langkah Sheraton’ berlaku, beliau digugurkan ataupun ditamatkan keahliannya daripada PKR. Bukan beliau melompat, itu apa yang dikeluarkan statement beliau, menyebabkan beliau terkontang-kanting akhirnya masuk dalam PPBM.

“Namun tidak semena-mena beliau melihat bahawasanya mungkin Perikatan Nasional (PN), PPBM dan Pas ini ada kelemahan dan ketirisan dari segi kekuatan parti dan juga penyokong yang tidak tetap, maka beliau beralih arah untuk menubuhkan satu lagi parti baru dinamakan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Tapi malangnya rakyat Ampang khususnya kita mendapat ahli parlimen yang suka melompat. Sifat orang-orang yang suka melompat ni bagi saya munafik kerana tanggungjawab dan amanah telah diberikan berdasarkan ataupun berasaskan parti yang dia menang pada waktu dan ketika itu,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Izwan, disebabkan politik mencari nyawa yang baru, maka pada hari ini beliau melaksanakan program demi program bagi mendapatkan sokongan.

“Baru-baru ni majlis korban dengar cerita dia bagi ke masjid, surau dan sebagainya. Dan pada masa yang sama dia buat program penyembelihan korban bersama penduduk. Dimaklumkan oleh pegawai-pegawai kita yang pergi bersama di tempat beliau, program ini program PBM bersama YB Zuraida, ahli parlimen dan juga mendapat perkenan dan bersama Barisan Nasional. Sedangkan Barisan Nasional (BN) Ampang jelas terang lagi nyata telah menaikkan banner sebesar 20′ x 20′ menolak untuk bersama PBM, apatah lagi bersama Datuk Zuraida Kamaruddin.

“Saya bukan tak kenal beliau, saya bukan tak kenal suami beliau, saya bukan tak kenal ketua bahagian PBM di Ampang… kenal sangat. Tapi apakan daya ini politik kotor. Politik tidak matang semata-mata untuk melepaskan beliau supaya terus mendapat mandat untuk menjadi salah seorang pemimpin.

“Pernah diludahnya kita di Ampang, dikata, dijijik, dihina dan sebagainya tiba-tiba ludah itu nak dijilat beliau kembali. Jelas kami Barisan Nasional Ampang menolak sekeras-kerasnya untuk menerima Zuraida Kamaruddin dan PBM ke dalam BN,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.