Himpunan #LAWAN: Mereka Hanya Tahu Protes Tapi Gagal Memerintah – Najmil Faiz

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menempelak tindakan ‘geng baju hitam’ yang akan turun melakukan protes kepada pihak kerajaan pada Sabtu ini.

Menurutnya, mereka ini dari dulu hanya tahu melakukan protes sahaja namun gagal apabila diberikan peluang untuk memerintah.

“Mereka letak lima tuntutan terhadap kerajaan. Saya jawab satu persatu bahawa semua tuntutan ini telah dilaksanakan kerajaan.

“Mereka ini tak pernah bersyukur. Tahukah korang perbelanjaan subsidi sebanyak RM77.3 bilion yang diperuntukkan kerajaan adalah tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan. Subsidi ini meliputi barangan komoditi, bahan bakar, elektrik, bantuan tunai dan sebagainya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Katanya lagi, mereka ini lagi rela mendapat RM30 dan sudah mula merindui bau hancing penipuan kerajaan mereka.

“Adakah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) tu tiada maruah? Puak-puak ni lagi rela dapat RM30 dan sudah mula rindu bau hancing penipuan kerajaan mereka. BKM memberi manfaat kepada isi rumah golongan B40 yang menerima bantuan bernilai RM2,600 secara berperingkat dan saya tahu ramai yang berterima kasih kepada kerajaan dengan inisiatif ini. Perdana Menteri juga tidak menolak kemungkinan bahawa BKM akan dinaikkan lagi.

“Di saat korang meroyan tidak puas hati dengan kerajaan Keluarga Malaysia, negara mencatat kadar inflasi rendah dan boleh diurus berbanding negara lain seperti US (9.1%) dan Turki (80%). Negara ASEAN telah mencatat peningkatan inflasi yang ketara setakat April lepas termasuk Indonesia (149%), Singapura (161%) dan Malaysia mencatatkan penyusutan kadar inflasi pada 2.8%. Subsidi yang dibelanjakan oleh kerajaan telah berjaya membantu rakyat mengawal inflasi dengan baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Najmil turut menyentuh isu masalah jaminan makanan dan juga isu potong gaji menteri yang didendangkan oleh mereka saban hari.

“Geng gagak hitam ni meroyan pasal food security pula. Okay kita jawab. Economist Intelligence Unit mencatatkan Malaysia berada di kedudukan ke-39 dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) bagi tahun 2021.

“Dalam soal food security, kita adalah yang terbaik selepas Singapura. Pelan Tindakan Dasar Makanan Negara 2021-2025 akan menyokong dan menambahbaik soal keselamatan makanan selaras dengan cabaran global.”

Jelasnya, kerajaan Keluarga Malaysia tidak pernah menaikkan gaji menteri dan timbalan menteri.

“Untuk menjimatkan perbelanjaan, memotong gaji bukanlah penyelesaiannya. Kerajaan telah lama mengambil langkah penjimatan lebih efisyen dengan mengawal perbelanjaan ke luar negara bagi mengelak implikasi kewangan tambahan.

“Sebagai contoh, mesyuarat dan persidangan di luar negara boleh diwakil oleh duta atau Ketua Perwakilan Negara tanpa perlu dihadiri Menteri atau pegawai kerajaan. Projek-projek yang belum dimulakan turut dikaji semula dan kerajaan hanya memberi keutamaan kepada projek yang mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat.

“Saya dah jawab semua tuntutan geng gagak hitam ni. Kalau korang masih nak berhimpun suka hatilah sebab puak korang memang suka buat benda yang tidak berfaedah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.