Hargai Ibu Bapa Anda Selagi Mereka Masih Ada – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru anak-anak untuk menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada dan tidak mempunyai perasaan sombong terhadap mereka.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada sebuah rakaman video tular yang memaparkan kasihnya seorang bapa kepada anaknya dengan memeluk dan menahan badan anak yang hampir tumbang ketika perbarisan diadakan.

“Lebih meruntun hati apabila mengetahui ‘bapa’ yang nekad masuk ke dalam perbarisan bagi membantu ‘anaknya’ yang rebah itu bukanlah bapa kandung, sebaliknya lelaki warga emas itu merupakan bapa saudaranya yang menjaganya sejak kecil selepas dia menjadi anak yatim piatu.

“Pokoknya inilah sebuah kisah yang nyata tentang kasih seorang insan bergelar ‘bapa’ terhadap seseorang yang dianggap sebagai ‘anak’,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, sudah banyak kali beliau berkongsi mengenai pentingnya kasih sayang antara anak dan ibu bapa sebagai teras penting kepada institusi kekeluargaan.

“Biarpun kamu kini berkedudukan tinggi dan lebih berpendidikan berbanding kedua ibu bapa, kasih mereka jauh lebih tinggi nilainya daripada apa sedang kamu miliki.

“Berbaktilah kepada mereka selagi berkesempatan kerana selepas pemergian mereka tiada apa lagi dapat kamu zahirkan melainkan doa seorang anak yang soleh.

“Buat bapa yang telah pergi, bersama kita hadiahkan alFatihah buat mereka. Semoga Allah menempatkan mereka di syurga bersama hambanya yang beriman,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.