Anak Muda Mahukan Kestabilan, Tahu Beza Parti Mana Bawa Kebaikan Dan Sebaliknya – Zaidy

SEREMBAN, 22 Julai – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Zaidy Abdul Kadir menegaskan bahawa anak muda inginkan kestabilan demi kemakmuran sesebuah negara kerana ia dapat memberi jaminan untuk peluang pekerjaan kepada mereka.

Jelasnya, kestabilan itu bukan untuk keamanan sesebuah negara sahaja tetapi sebenarnya juga bagi pembangunan keseluruhan negeri yang akan menyumbang kepada kemakmuran rakyat termasuk anak muda.

“Anak muda sememangnya inginkan kestabilan dan kemakmuran kerana ia mampu menarik para pelabur datang ke dalam negara.

“Apabila adanya pelabur asing dan yakin melabur di negara ini maka akhirnya akan memberi impak yang tinggi kepada ekonomi negara. Kalau kita masih di tahap yang sama dan tiada pelaburan asing ianya akan menyekat peluang perkerjaan anak muda,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Dalam hal berkaitan sokongan anak muda, Zaidy mengakui bahawa media sosial merupakan sumber rujukan utama belia ketika ini kerana bersifat menyeluruh dalam menyalurkan maklumat termasuklah berkaitan parti.

“Anak muda sekarang ini lebih aktif dan peka di media sosial dan mengikuti perkembangan semasa, malah mereka tahu parti mana yang membawa kebaikan pada negara.  Apabila mereka cenderung pada media sosial mereka lebih tahu tentang isu-isu semasa dan boleh bezakan mana yang baik dan buruk.

“Kalau dulu UMNO tidak fokus kepada media sosial dan anak muda hanya fokus pada televisyen untuk menjadi sumber keutamaan mendapatkan maklumat tentang politik negara, ekonomi, kestabilan dan kemakmuran, tapi pada hari ini… tidak, kesemua maklumat boleh dapat di hujung jari.”

Seterusnya kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jempol itu, kebangkitan sokongan anak muda pada UMNO ini terjadi apabila diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor kerana mereka kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Gelombang kebangkitan anak muda ini tercetus dari PRN Melaka dan Johor. Ianya telah terbukti rata-rata saluran pengundi muda telah bersama UMNO untuk kembali menyokong Barisan Nasional (BN).

“Kita berharap pihak kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO supaya mengadakan PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) pada bila-bila masa,” ujarnya yang mengakui telah sedia menghadapinya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.