Tak Logik PPBM Tuntut Jawatan, Fokus Isu Negara Lebih Penting

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bagan Datuk, Mohd Rizan Razali berpandangan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM/Bersatu) yang menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah tidak wajar.

Katanya, perebutan jawatan seumpama ini tidak memberikan manfaat kerana kerajaan pada ketika ini fokus kepada agenda membantu rakyat dan meningkatkan ekonomi negara.

“Tuntutan TPM oleh PPBM pada kami ini adalah suatu yang tidak logik dan tidak wajar buat ketika ini kerana kita melalui fasa pandemik ke endemik.

“Hari ini kerajaan menumpukan tentang pembangunan untuk membaik pulih dari segi ekonomi rakyat jadi tidak perlu untuk mengejar jawatan semata-mata untuk mewakili parti mereka,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Beliau malah menyedari bahawa kerajaan pada ketika ini dibentuk berdasarkan perkongsian antara parti-parti yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan mereka.

“Mungkin dalam kerajaan kita bersama tetapi persaingan di antara parti dalam kabinet sendiri pun sentiasa ada.

“Bagi kami tidak perlu BN memfokuskan perkara remeh biarlah parti lain dengan politik murahan.

“… tetapi BN mewakili parti dari kerajaan menumpukan kepada gerak kerja untuk kebajikan rakyat dan itulah harapan kami sebagai jentera untuk melihat pemimpin UMNO BN untuk menfokuskan kebajikan rakyat,” ujar beliau.

Sementara itu Mohd Rizan turut menyentuh persiapan yang dilakukan pihaknya bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengakui had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik memberi cabaran namun katanya pelbagai agenda dilakukan bagi mendekati golongan ini.

“Pemuda telah mewujudkan Putera UMNO, Biro Mahasiswa di setiap bahagian di dalam UMNO kita memahami memang situasi kerana undi 18 dan pengundi pertama kali ini adalah satu cabaran yang besar buat kami khususnya Pergerakan Pemuda dan Puteri.

“Namun dengan gerak kerja yang telah dilakukan selama ini melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga beberapa aktiviti-aktiviti yang kita laksana bersesuaian dengan permintaan anak muda terutama 20 tahun ke bawah,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.