Permudahkan Urusan Pemberian GCR Untuk Rakyat – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru pihak jabatan dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) berkaitan untuk melaksanakan dengan lebih cepat dan tidak menetapkan syarat tambahan selain berdasarkan pekeliling kerajaan bagi mempermudahkan urusan pemberian Ganjaran Wang Tunai (GCR) untuk rakyat.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau mendapat maklum balas bahawa sehingga kini terdapat kelewatan penjawat awam untuk menikmati kemudahan tersebut meskipun kerajaan sudah lama meluluskannya.

“Berdasarkan Belanjawan 2022 telah dipersetujui untuk menaikkan jumlah hari maksimum GCR daripada 150 hari kepada 160 hari dan membenarkan pemberian awal ganjaran wang tunai GCR sebanyak 80 hari mulai Januari 2022.

“Saya mendapat maklum balas bahawa walaupun kerajaan sudah lama meluluskan perkara itu namun sehingga kini terdapat kelewatan penjawat awam menikmati kemudahan tersebut sedangkan pekeliling mengenai perkara itu telah dikuatkuasakan bermula pada bulan Januari 2022,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, pengeluaran ini sangat penting kepada penjawat awam yang memerlukan.

“Pengeluaran ini sangat penting kepada penjawat awam yang memerlukan bagi tujuan keperluan semasa, menampung kos kehidupan, menambah simpanan lebih strategik dan sebagainya.

“Sebelum ini pekerja swasta bergantung kepada pengeluaran wang KWSP mereka dan pengeluaran RM10,000 berjaya dibenarkan selepas desakan UMNO,” katanya.

Beliau turut berharap agar semoga urusan GCR penjawat awam dipermudahkan supaya ianya dapat menjadikan mereka lebih produktif dalam memberi khidmat kepada negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.