Penceramah Kuasai Persekitaran, Perkasakan Komunikasi … Kurangkan Persepsi – Mohamad Hasan

SEREMBAN, 21 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihati jentera penceramah Penerangan UMNO Negeri Sembilan agar terus memperkasakan komunikasi apabila berhadapan dengan masyarakat.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Negeri Sembilan itu, penceramah harus menguasai keadaan persekitaran agar dapat mengurangkan persepsi masyarakat dan melakukan ‘side war’.

“Kita mesti kuasai keadaan… jangan keadaan kuasai kita, kalau kita dikuasai keadaan maka kita tidak boleh buat apa kerana asyik ‘defensif’ dan kita asyik bertahan dengan keadaan menguasai kita. Kita mesti menguasai orang yang kuasai pasaran.

“Tugas orang Penerangan UMNO adalah tugas yang pertama, macam mana hendak berkomunikasi dengan orang dan ada saluran serta alat-alat untuk digunakan berkomunikasi. Kita berkomunikasi secara fizikal ataupun dengan secara maya.

“Perkasakan peralatan kedua-duanya dalam melalui alam maya dan buat program kita. Apabila kita boleh buat setiap sektor komunikasi secara lisan, komunikasi secara maya, komunikasi secara tulis dan bermacam-macam lagi maka kita akan dapat menguasai keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup program seminar penceramah-penceramah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Penerangan UMNO Negeri Sembilan, di bangunan Wisma UMNO Negeri Sembilan, semalam.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan; Timbalan Pengerusi BPUN Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lassim; Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Hizatul Isham Abdul Jalil serta kepimpinan UMNO seluruh bahagian Negeri Sembilan.

Seterusnya kata Mohamad lagi, penceramah harus mendekati semua golongan masyarakat sama ada secara bersemuka ataupun secara maya.

“Kita mesti berupaya mendekati mereka dengan cara berkomunikasi dengan betul dan dengan alam maya dengan betul. Masyarakat ini berlapis-lapis kerana ada yang bijak pandai seperti masyarakat kos menengah… lain, masyarakat yang sudah pencen pun lain dan macam mana hendak berkomunikasi orang macam ini.

“Kita kena berupaya menerokai pemikiran mereka dan baru boleh mengubah suai mereka daripada cenderung belah kanan atau menjadi jentera. Bila sudah menjadi jentera barulah boleh jentera kita masuk,” jelasnya.

Dalam pada itu Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berharap penceramah dapat menyerang pihak lawan dan mempertahankan UMNO apabila berhadapan dengan isu semasa dan ini adalah tugas hakiki sebagai penerangan.

“Fungsi penerangan ini penting untuk kita beri penerangan, untuk kita melakukan kacau-bilau di kalangan musuh. Penerangan itu penting dan jangan lagi anggap menjadi sebagai unit ataupun jabatan cuma menerangkan isu-isu semasa.

“Kita dapat mengurangkan orang punya persepsi, mesti melakukan peperangan ‘side war’, kena tengok audien dan kenali isu, keluarkan pengundi putih dan susun gerak kerja,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.