Anwar Tidak Perlu Jadi PM Untuk Desak Janji PH Dilaksana, Taktik Jual Harapan Kembali – Razlan

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii mengingatkan rakyat bahawa hasutan demi hasutan cuba untuk menjual harapan telah dari dahulu diaplikasi dan kini diangkat kembali.

Jelasnya, rakyat tentunya tahu menilai apabila melihat kempen-kempen Pakatan Harapan (PH), PKR dan Dap yang menjual harapan.

“Harapan nak turunkan harga minyak, harapan nak hapuskan tol, harapan nak hapuskan PTPTN dan banyak lagi harapan yang diberikan kepada rakyat dan ini adalah janji-janji yang tidak boleh dilaksanakan,” katanya.

Dalam hal ini beliau membidas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sewajarnya tidak perlu untuk menjadi perdana menteri bagi mendesak janji yang ditaburkan oleh PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilaksanakan.

Katanya, mustahil untuk kabinet yang mempunyai ramai pemimpin PKR dan Dap semasa dalam pentadbiran PH tidak boleh mempengaruhi perdana menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir untuk menurunkan harga minyak.

“Anwar Ibrahim tidak boleh menafikan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu ialah Wan Azizah. Di dalam kabinet itu juga, Menteri Kewangan yang menjaga hal ehwal kewangan negara adalah Lim Guan Eng, sahabat dia. Dan juga menteri ekonominya adalah Azmin Ali.

“Maksudnya, Anwar tidak perlu pun menjadi Perdana Menteri untuk mendesak sesuatu perkara yang dijanjikan oleh PH untuk dilaksanakan. Dia boleh mengharapkan kepada timbalan perdana menteri, boleh mengharapkan kepada menteri kewangan, dia boleh mengharapkan kepada mana-mana pihak di dalam kabinet itu untuk memastikan janji PH itu dilaksanakan.

“Bukan itu sahaja, ramai juga di antara pemimpin PKR dan juga Dap berada dalam kabinet. Takkanlah sebesar kabinet ini tidak boleh menceritakan tentang atau mempengaruhi Tun Dr Mahathir untuk menurunkan harga minyak?” soalnya semasa sesi wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online pada Rabu bertajuk ‘Waspada Gendang Fitnah dan Janji Palsu’ .

Menurut Razlan, janji-janji PH banyak yang tidak dapat dilaksanakan dan Anwar menjadikan jawatan PM sebagai satu alasan.

“Saya melihat hari ini Anwar mengambil sikap untuk menyalahkan Tun Dr Mahathir sedangkan satu Kabinet itu majoritinya adalah orang-orang PKR dan Dap yang membawa kepada dasar polisi yang telah mereka laksanakan bersama,” katanya.

Razlan turut mempersoalkan kenyataan Anwar yang menyatakan bahawa harga minyak tidak dapat diturunkan dengan alasan bagi menjaga korporat atasan.

“Adakah Anwar mengatakan bahawasanya Lim Guan Eng yang nak menjaga korporat-korporat atasan ini? Dia menyatakan bahawasanya harga minyak tidak boleh diturunkan disebabkan orang atasan nak menjaga korporat-korporat atasan. Itu dia punya ucapan.

So, siapa yang dimaksudkan korporat atasan itu? Adakah Lim Guan Eng sebenarnya yang makan rasuah, nak menjaga bersama-sama rakannya? Ataupun adakah timbalan perdana menteri pada ketika itu Wan Azizah, ataupun adakah Anwar nak meletakkan kesalahan itu hundred percent kepada Tun Dr Mahathir?

“Ini adalah perkara-perkara yang tidak masuk akal. Sebagai satu kerajaan yang matang, kita tahu sistem kerajaan itu mestilah datang daripada keputusan konsensus, keputusan kebersamaan di dalam kementerian itu ataupun di dalam kabinet itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Razlan berpendapat bahawa apa yang cuba dilakukan oleh Anwar pada hari ini adalah untuk mengalih isu semata.

“Jadi, apa yang Anwar cuba lakukan hari ini adalah untuk mengalih isu bahawasanya beliau tidak ada kuasa, beliaulah orang yang baik, beliau adalah orang yang cukup mahu memperjuangkan rakyat. Sedangkan bahawasanya team mereka, siapa sahaja yang team mereka yang ada hari ini adalah duduk di dalam kabinet. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.