Rafizi… Cermin, Lihat Diri Sendiri, PH/PKR Rosakkan Negara – Faiz Hashim

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja gagal mengurus sebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat, malah janji-janji manis dalam manifesto pun gagal ditunaikan masa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, bidas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim.

Beliau berkata demikian berikutan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa bahawa UMNO punca segala permasalahan yang berlaku dalam negara.

Tegas Muhammad Faiz, rakyat begitu kesal dengan sandiwara PKR yang menjadi sekutu PH, tidak menunaikan segala janji yang terkandung dalam kitab manifesto malah sebaliknya kini bertindak menyalahkan UMNO.

“Hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional)… adakah dihapuskan sepertimana yang dijanjikan? Adakah berlaku penurunan harga minyak? semuanya tidak berlaku dan menuduh semuanya angkara kerosakan dari UMNO maka Rafizi harus melihat ‘cermin dan lihat diri sendiri’ dan parti mereka (PKR).

“Janji dalam manifestonya seperti mewujudkan satu juta peluang pekerjaan untuk diberikan kepada orang muda, menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), turunkan harga minyak, hapuskan hutang-hutang Felda, PTPTN, namun apa yang dijanjinya tidak ditunaikan.

“Mereka (PH) menjadi kerajaan tetapi gagal mentadbir urus negara dengan baik meskipun diberi peluang oleh rakyat. Ramai yang hilang mata pencarian termasuk juga kakitangan kerajaan yang dibuang kerja. Ekonomi negara semakin merudum dan akhirnya tiada hasil yang bermanfaat diberikan kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seterusnya beliau turut membidas kenyataan Rafizi yang mengatakan bahawa menteri-menteri dari UMNO tidak cerdik berbanding zaman pemerintahan PH.

“Kalau menteri UMNO tidak cerdik, setidak-tidaknya zaman kerajaan UMNO dulu iaitu zaman era Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, ekonomi negara berada di tahap yang cukup baik, pelabur memberi kepercayaan penuh pada negara dan berbilion-bilion pelaburan masuk ke dalam negara terutamanya dari negara China.

“Sebagai contoh, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), High Speed Rail (HSR) yang memberi impak besar kepada negara. Lebuhraya Pan Borneo diberikan percuma kepada rakyat dan ini menandakan ekonomi negara semakin berkembang dan pelabur begitu yakin dengan keadaan negara masa itu,” ujarnya.

Terdahulu, di dalam Kongres PKR baru-baru ini Rafizi atau lebih digelar ‘Raja Formula’ telah mengkritik dan menuduh UMNO adalah lambang dan punca segala kerosakan dan kemasalahan yang ada dalam negara. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.