Pengundi 18 Dan Automatik Perlu Didekati, Beri Pemahaman Pelaksanaan Demokrasi Negara – Tengku Haphiz

HULU TERENGGANU, 20 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putera berpandangan pengundi 18 dan automatik perlu didekati serta diberi pemahaman mengenai pelaksanaan demokrasi berparlimen di negara ini.

Ujar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Hulu Terengganu itu, ia bukan sahaja tanggungjawab UMNO dan Barisan Nasional (BN), malah parti-parti lain dan agensi kerajaan yang berkaitan turut memainkan peranan penting.

“Ini bukan sahaja kerja yang perlu UMNO ambil perhatian tetapi mana-mana parti sebab dalam sistem demokrasi kita ini melihat bahawa kumpulan ini adalah kumpulan agak sukar untuk dibaca dalam soal pemahaman politik mereka.

“Sebelum kita pergi lebih jauh untuk mengajak mereka mengundi, sudah tentu mereka perlu difahamkan soal bagaimana demokrasi negara berjalan. Saya lihat dalam keputusan di PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor peratusan yang menurun selepas daripada PRN Melaka dan kelompok yang tidak ramai mengundi adalah kumpulan ini.

“Paling penting UMNO kena fahamkan anak muda, kumpulan pengundi kali pertama ini berkenaan dengan bagaimana pelaksanaan dan kefahaman tentang demokrasi negara. Bila mereka faham perkara ini, maka untuk mengajak keluar mengundi lebih mudah,” ujarnya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini di Pejabat UMNO Bahagian Hulu Terengganu di sini.

Pemuda UMNO juga tambahnya telah mengambil langkah yang proaktif mendekati golongan tersebut.

“Jadi di peringkat kita ada strategi bagaimana hendak mendekati mereka ini. Kebetulan di peringkat Pemuda pusat telah mewujudkan sekretariat pengundi muda, UMNO Siswa dan Putera UMNO. Jadi ini adalah strategi asas untuk kita mendekati mereka.

“Kumpulan ini (pengundi kali pertama) adalah kumpulan yang majoriti dalam PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang, yang perlu diberikan perhatian dan kami di peringkat Pemuda Insya-Allah akan dekati mereka pada masa ke semasa,” katanya.

Seterusnya, Tengku Haphiz mencadangkan agar diadakan silibus kenegaraan di peringkat sekolah lagi.

“Walaubagaimanapun semua pihak termasuk agensi kerajaan dan sekolah (diwujudkan) silibus-silibus berkenaan dengan politik dan sistem kenegaraan secara demokrasi berparlimen ini agar mereka ini keluar dari sekolah umur 18 automatik menjadi pengundi, sudah tahu macam mana hendak buat keputusan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain berhubung persiapan menghadapi PRU akan datang, Tengku Haphiz berkata pihaknya telah bersiap sedia sejak tahun 2019 dan kini memasuki fasa terakhir.

“Di Terengganu bersedia lebih awal. Selaku Ketua Pemuda UMNO negeri telah menggariskan beberapa fasa untuk menghadapi pilihan raya. Secara jujurnya bermula sahaja 2019 dan ini sudah masuk ke fasa akhir. Perhubungan (Badan Perhubungan UMNO negeri) sudah menggariskan fasa 2022 hingga 2023 adalah fasa akhir, fasa bila-bila masa sahaja boleh berlaku pilihan raya.

“Jadi persediaan kita setakat ini Alhamdulillah saya melihat seluruh bahagian hampir seratus peratus dan antara yang kita uji pergi ke pilihan raya-pilihan raya negeri bergerak dengan baik. Kawasan-kawasan yang kita pergi Alhamdulillah semua menang,” katanya.

Tengku Haphiz turut melahirkan keyakinan BN akan mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong selain mampu merampas kerusi DUN Kuala Berang, Ajil dan juga Manir. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamad

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.