Menteri PPBM Main Politik, Gerak Geri Hamzah Penuh Muslihat – Razlan

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii hari ini membidas menteri yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai tidak bijak dalam menguruskan kementeriannya.

Katanya ini kerana Menteri Dalam Negeri (KDN) itu dilihat gagal dalam mencari jalan penyelesaian membabitkan beberapa isu di bawah portfolio beliau termasuk kes-kes berkenaan dengan registra di bawah kementerian itu sehingga ada yang terpaksa mencari jalan penyelesaian menerusi mahkamah.

“Hal ini tidak berlaku sebelum ini, banyak parti-parti yang berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum ini tiada halangan untuk mendapatkan kelulusan malah ada banyak parti yang tumbuh bagai cendawan tiada masalah.

“Pejuang, MUDA terpaksa menggunakan mahkamah untuk membuat keputusan untuk pihak KDN. SOP yang sudah tersedia, tatacara kerja yang sekian lama berada di RoS sepatutnya tiada masalah, sudah pasti ada udang disebalik batu berkenaan tindakan kelewatan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya, UMNO juga berhadapan dengan masalah disebabkan tindakan RoS yang mengeluarkan dua keputusan berbeza.

“Adakah ianya ada niat lain? Perlukah sebuah parti politik sebesar UMNO ini harus bergantung dengan keadaan KDN yang jelas mahu bermain politik?

“Hari ini, walaupun Perdana Menteri telah memberikan tarikh tamat kepada RoS iaitu 16 Julai, nampaknya ianya bukan satu yang perlu diambil peduli oleh KDN.

“Menteri KDN gagal untuk melaksanakan tugasan ini, KPI yang sudah ada tidak dipedulikan, arahan Perdana Menteri kepada Menteri KDN untuk mengeluarkan keputusan pada 16 Julai dibakul sampahkan,” ujar beliau.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh juga malah membangkitkan berkenaan visa pekerja Indonesia apabila negara itu membatalkan pengambilan pekerja ke Malaysia.

Jelas beliau lagi, cakap-cakap diluar juga menjurus kepada sikap Menteri KDN yang tidak menguruskan perkara antara kerajaan kedua-dua buah negara dengan baik.

“Dikhabarkan KDN memaksa Indonesia menggunakan sistem yang di bina oleh KDN untuk mewajibkan semua pekerja Indonesia yang mahu bekerja di Malaysia. Ini telah melangari perjanjian kerjasama diantara Indonesia dan Malaysia.

“Perkara mudah, sudah dipersetujui di dalam memorandum persefahaman (MoU) bersama Indonesia dan Malaysia, kenapa perlu dibangkitkan keperluan untuk menggunakan System Maid Online (SMO)?.

“Akhirnya, Malaysia terpaksa tunduk untuk mengekalkan kepada sistem One Channel System (OCS) seperti di dalam MoU! Kan nampak tidak cantik buat Malaysia berkenaan dengan pembuatan keputusan!” tegas beliau.

Tambah Mohd Razlan masih banyak peristiwa yang terjadi semasa Hamzah memegang menteri KDN termasuk rakaman suara berkenaan lantikan Ketua Polis Negara.

“Teringat juga sejarah yang dicipta oleh Hamzah apabila mencalar arang di muka kerajaan apabila SOSMA digagalkan oleh pembangkang di dalam Parlimen.

“Peristiwa-peristiwa ini semua terjadi bukan disengajakan, ianya dilakukan dengan cukup licik untuk melemahkan lawan politik PPBM. Selagi tidak mendapat kekuatan, selagi itu mereka akan bermuslihat untuk menghancurkan sesiapa sahaja yang berlawan dengan mereka.

“Inilah yang terjadi apabila Menteri KDN lebih bermain politik dari menjalankan tanggungjawab hakiki… untuk apa lagi kita bersama satu meja bulat bersama mereka?” soal beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.