Lantik Ikon Bermasalah, Wan Fayshal Buat Kerja Tak Pakai Akal – Muqharabbin

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Exco Pergerakan Pemuda Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin hari ini meminta Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar bertanggungjawab kerana melantik orang yang ‘salah’ menjadi ikon permotoran negara.

Katanya, ikon yang dilantik Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu sebenarnya banyak mendatangkan masalah dan memberi impak tidak baik kepada anak muda lagi-lagi tular bahawa ikon tersebut banyak melanggar kesalahan jalan raya.

“Ramai lagi yang wajar diangkat sebagai ikon permotoran negara seperti Hafiz Syahrin, Syarifuddin Azman atau Damok dan belia-belia lain yang membawa imej baik buat masyarakat.

“Ini tanpa usul dan kajian dengan hanya melihat TikTok sahaja, terus lantik jadi ikon. Nampak sangat, buat kerja tak pakai akal.

“Akhirnya yang mendapat cemuhan, kerajaan hari ini kerana ada menteri dan timbalan menteri yang tidak buat kerja dengan betul,” katanya menerusi satu kenyataaan.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Lembah Pantai juga berharap pada masa depan, ikon-ikon yang ingin dipilih adalah berdasarkan badan yang dipertanggungjawabkan untuk membuat penilaian.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal mencetuskan kontroversi apabila memberi gelaran ‘ikon permotoran belia’ kepada Haqiem Stopa yang sering membuat konten berkenaan permotoran di TikTok.

Bagaimanapun baru-baru ini tular surat saman yang dikenakan kepada Haqiem atas dakwaan bersalah memandu kereta tanpa lesen di Jalan Raja Laut. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.