Kerajaan Pahang, MIG Dairy Fresh Jalin Kerjasama Laksana Projek Agromakanan

RAUB, 20 Julai – Kerajaan Pahang menyediakan tanah seluas kira-kira 285 hektar di Bukit Kajang di sini bagi pelaksanaan projek ternakan kerbau tenusu dan lembu wagyu yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat MIG Dairy Fresh Sdn Bhd.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek agromakanan itu dilaksanakan selaras dengan keperluan negara dalam menangani isu sekuriti makanan.

“Kita sedia maklum negara ini masih mengimport daging dari luar negara, dengan itu kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membantu pengusaha berkeupayaan melaksanakan projek ternakan dengan menyediakan tanah bagi ternakan lembu wagyu dan kerbau tenusu.

“Usaha seperti ini dilihat sangat baik kerana sasaran kita jika tidak sampai ke tahap eksport, sekurang-kurangnya ia dapat memenuhi permintaan dalam negeri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) dan Penyampaian Suratan Hak Milik Skim Tanah Rakyat Kampung Lalat, Ulu Dong di sini, semalam.

Terdahulu, Wan Rosdy hadir merasmikan Majlis Kick Off Projek Penternakan Kerbau Tenusu dan Lembu Wagyu di Bukit Kajang, di sini.

Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 2026 dengan anggaran kos pembangunan RM45 juta melibatkan pembinaan infrastruktur ladang seperti kandang, homplot tanaman rumput dan pembelian ternakan.

Di samping itu, kilang pemprosesan hasil ladang akan dibina sebagai kesinambungan kepada projek ternakan tersebut, iaitu sasaran MIG Dairy Fresh ialah mengeluarkan produk daging premium, susu, yogurt dan keju.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan, syarikat yang membuat pelaburan seperti MIG Dairy Fresh akan dapat mengembangkan teknologi mereka kepada pengusaha kecil di sekitar kawasan berkenaan.

Menyentuh mengenai PROSPEK, beliau berkata kerajaan negeri berbesar hati apabila projek yang dijalankan di Kampung Pamah Rawas, Kampung Pamah Kulat dan Kampung Orang Asli Sungai Yol di sini, kini semakin menjadi kenyataan.

Katanya projek perintis yang dijalankan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan negeri itu melibatkan 45 orang peserta dan mereka akan diberikan tanah seluas dua ekar setiap orang bagi penanaman pokok durian Musang King dan sebuah rumah tiga bilik untuk dihuni.

“Projek perintis ini amat baik kerana ia dapat meningkatkan taraf sosial penduduk luar bandar, jika boleh KPLB dapat menyediakan lagi peruntukan RM8 juta seperti projek ini pada tahun hadapan dan bagi pihak kerajaan negeri kita akan berusaha mencari tanah sesuai untuk melaksanakannya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.