Kerajaan Negeri Selangor Ibarat Kosmetik… Kerajaan ‘One-Man Show’ – Amin Shukor

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) dikatakan seperti kerajaan one-man show kerana kelihatan hanya menteri besar yang berfungsi sedangkan exco-exco kerajaan negeri yang lain seperti mendiamkan diri.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Amin Shukor berkata, ada beberapa perkara yang dilakukan oleh kerajaan negeri ibarat seperti ‘kosmetik’ iaitu hanya cantik di luar.

“Saya ambil contoh isu Stadium Shah Alam yang tengah hangat dibicarakan. Bila kita menceritakan, menteri besar kata ada pihak yang mempolitikkan dan very sarcastic tentang UMNO/BN (Barisan Nasional) sebenarnya.

“Dan selepas kita mendesak, barulah tiba-tiba ada pelan tindakan yang digambarkan nak buat itu, nak buat ini. Tetapi soalnya kenapa baru sekarang? Kenapa selepas kita ada push factor, kita buat riuh-rendah, baru kerajaan negeri nak keluarkan satu pelan tindakan?

“Saya berpandangan kenapa saya kata yang dibentangkan itu nampak cantik di luaran? Banyak benda-benda lain sebagai contohnya saya nak katakan fokus kepada pembangunan kompleks sukan, tapi isu lain tak selesai di Selangor. Kita tak dengar pun tentang pelan tindakan isu air ini,” katanya semasa wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online Selasa malam.

Katanya lagi, isu air ini umpama sentiasa menjadi legasi dan tidak langsung cuba diselesaikan sehingga sekarang.

“Saya rasa dengan bajet RM787 juta itu kita pun nak juga dengar apa pelan tindakan menteri besar tentang nak selesaikan masalah air di Selangor ni.

“Itu kosmetik yang kita nampak tentang sukan walaupun sebenarnya dia hanya cerita tentang pembangunan kompleks sukan. Tapi pembangunan modal insan dan belia anak muda di Selangor, tak pernah pun dibentang oleh menteri besar secara mendalam.

“Saya berani cakap terus terang kosmetik ini kerana dilihat menteri besar one-man show. Kita tidak tahu apa benda yang exco buat. Kita ada exco-exco yang bagi saya di Selangor ini yang makan gaji buta,” katanya.

Menurut Amin, beliau yakin menteri besar memilih untuk berjalan secara kosmetik sebagai pilihan untuk menampakkan perkara yang cantik dalam kerajaan negeri Selangor dan beliau turut yakin exco-exco yang dilantik tidak boleh bekerja.

“Kerajaan Selangor definitely memang kerajaan one-man show. So bila benda ni berlaku, menteri besar terpaksa buat susun atur secara kosmetiknya supaya rakyat percaya yang pelan tindakan itu ialah pelan tindakan yang bagus untuk masa depan.

“Yang saya nampak, kerajaan sekarang cuba nak mengaburi mata pengundi dan mata rakyat di Selangor mengguna pakai lokasi-lokasi yang strategic untuk kepentingan-kepentingan tertentu,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.