Bersikap Adil, Perhalusi Isu Gunung Inas Digondol… Beri Perhatian Sewajarnya – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berharap isu membabitkan Gunung Inas diperhalusi, disiasat dan diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri Kedah dan kerajaan Persekutuan.

Katanya, ini kerana pendedahan yang dibuat oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semalam telah mencerminkan fakta dan keadaan sebenar.

“Beliau telah bersuara dan menjelaskan bahawa idea asal penanaman Musang King di Gunung Inas, Kedah adalah dilakukan dengan matlamat yang jelas iaitu untuk memulihara kembali kawasan hutan tersebut yang telah bertompok, gondol dan musnah teruk akibat pembalakan.

“Ini bermakna, terdapat dua perkara penting yang sebenarnya melatari cadangan awal penanaman Musang King di situ, pertamanya kawasan tersebut sudah sedia gondol, telah berlaku aktiviti pembalakan dan penggondolan hutan di situ jauh lebih awal di bawah kelulusan kerajaan negeri sebelumnya.

“Penggondolan dan pembalakan tersebut telah menyebabkan kerosakan serta kemusnahan yang teruk kepada kawasan tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau apabila mewarisi hutan yang sedia gondol dan rosak adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri ditabdir Ahmad Bashah untuk mencari jalan menghijaukan semula bukit tersebut.

Tambah Shaiful jika dibiarkan, kawasan tersebut akan terus rosak dan tidak akan pulih dengan sendiri malah atas dasar itu, kerajaan negeri bersetuju untuk menghijaukan kembali kawasan tersebut dengan projek penanaman semula pokok.

“Kedua, tanaman Musang King menjadi pilihan kerana ia akan bersifat serampang dua mata iaitu berupaya menghijaukan kembali kawasan yang telah gondol dan pada masa yang sama berpotensi memberi pulangan kepada negeri.

“Bermakna isu ini mesti dilihat dengan lebih jauh bukan sekadar penanaman durian di kawasan bukit tetapi keadaan gunung Inas yang telah dibiarkan rosak dan botak akibat penggondolan hutan dan pembalakan sebelumnya.

“Tanpa projek dan idea penanaman durian itu sekalipun, kawasan tersebut sudah sangat berisiko memberi ancaman kepada kawasan sekelilingnya.

“Saya harap semua pihak akan bersikap adil, terbuka dan objektif dalam meneliti isu ini dan tidak membiarkannya dilihat atau dinilai secara separa dan tidak lengkap,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.