Azeez Rahim Harap MAFI Bantu Mangsa Banjir Baling, Tanaman Lenyap 100 Peratus

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berharap menteri yang berkaitan melihat kaedah bagaimana untuk membantu mangsa banjir di Baling.

Hal ini kerana, kebanyakan mangsa tragedi tersebut khususnya petani dan pesawah hilang punca mata pencarian mereka setelah hasil tanaman mereka lenyap hampir 100 peratus.

“Yang Berhormat Menteri, Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) yang ada dalam dewan ini, saya nak menyatakan sesuatu perkara berkenaan isu Gunung Inas yang baru-baru ini telah dilanda tragedi bencana di kawasan saya 15 hari yang lalu.

“Hal ini menyebabkan mata pencarian masyarakat di kampung khususnya berkaitan dengan pertanian apatah lagi hasil tanaman padi mereka lenyap 100 peratus di kawasan saya dan tanaman-tanaman lain,” katanya semasa sidang parlimen pada sesi petang, semalam.

Katanya lagi, masyarakat di kawasan terbabit juga menghadapi masalah air berkaitan penanaman sawah padi tercemar.

“Saya berharap pihak menteri boleh melihat sedikit cara serta kaedah untuk membantu kawasan kami dalam daerah Baling khususnya kami yang berlandaskan pertanian hampir 80 peratus rakyat Baling mencari makan melalui pertanian,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.