SUA Suarakan Prasarana Rakyat Jangan Dilewatkan

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyuarakan kepada kerajaan agar prasarana rakyat tidak dilewatkan.

Semasa sidang Parlimen pagi tadi, beliau yang jelas prihatin berhubung keperluan rakyat telah bertanya kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkenaan beberapa projek prasarana rakyat.

“Saya mempersoalkan tentang status East Coast Rail Link (ECRL), Kuala Lumpur-Singapore High Speed Rail (HSR), Mass Rapid Transit (MRT), Pan Borneo Highway dan tol.

“ECRL 665 kilometer baru 31 peratus (jika tak terganggu kerana tukar kerajaan lebih awal siap). HSR dalam proses perbincangan semula, MRT terlewat dan Pan-Borneo distruktur,” katanya menerusi ciapan di laman Twitternya.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengharapkan agar kerajaan mempercepatkan prasarana untuk rakyat.

“Yang penting prasarana rakyat jangan dilewat untuk manfaat mereka,” katanya.

Sementara itu dalam sidang yang sama, beliau turut menyoal Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai spekulasi yang menyatakan kononnya Malaysia akan bankrap seperti Sri Lanka.

“Subsidi tentunya antara lain ialah daripada hutang kerajaan. Tular di media sosial kononnya Malaysia akan bankrap seperti Sri Lanka akibat daripada hutang kerajaan.

“Saya ingin bertanya kepada menteri adakah tahap hutang kerajaan Malaysia ini masih di paras terurus? Apakah perlu berhutang lagi untuk membantu rakyat dan nyatakan sumber-sumber baru yang lain sebagai tambahan hasil negara bagi meneruskan subsidi yang bersasar,” katanya.

Balas Tengku Zafrul, ekonomi Malaysia jauh lebih kukuh daripada Sri Lanka jika dibandingkan indikator ekonomi kedua-dua negara dan kemungkinan untuk negara bankrap seperti Sri Lanka adalah amat tipis. UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.