Permasalahan Lumba Haram, Ahmad Zahid Gesa Tangani Di Peringkat Paling Asas

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa permasalahan berkenaan lumba haram bukan sesuatu yang baru kerana ia sudah lama dan sudah terlalu banyak diperkatakan.

Jelasnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), peruntukan undang-undang adalah sangat jelas dan sangat tegas dalam menangani kesalahan lumba haram.

“Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga lima tahun. Denda minimum RM5,000 serta hilang kelayakan menunggang atau lesen memandu selama dua tahun.

“Malangnya gejala yang amat berbahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya ini masih berleluasa. Justeru dalam mendalami isu ini kita tidak lagi boleh beretorik dan perlu melihatnya secara holistik dan realistik,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Tegasnya, ia perlu ditangani di peringkat yang paling asas.

Secara umum katanya, terdapat dua kategori perlumbaan haram iaitu:

1) Lumba haram untuk mendapatkan ganjaran – Perlumbaan seperti ini dikhabarkan melibatkan penganjuran pihak tertentu yang mencari keuntungan. Bagi menangani gejala ini suatu hukuman yang lebih tegas terhadap penganjur perlu dikenakan. Penguatkuasaan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 seperti pernah dicadangkan adalah wajar.

2) Lumba haram tanpa ganjaran – Perlumbaan seperti ini lebih menjurus kepada aspek hiburan. Berlumba sekadar untuk kepuasan diri. Ini adalah permasalahan paling utama kerana melibatkan aspek minat dan kecenderungan.

Ujar Ahmad Zahid, barangkali sudah tiba masa untuk dilihat keadaan ini secara lebih mendalam dalam aspek psikologi.

“Pertama, kita perlu memahami minat kepada sukan perlumbaaan motosikal bukan sesuatu yang salah. Ia menjadi kesalahan apabila minat itu disalurkan di platform yang tidak sepatutnya iaitu di jalan raya.

“Jika kita menyediakan platform yang khusus dengan ciri-ciri standard keselamatan untuk minat mereka mungkin gejala lumba haram dapat dikurangkan.

“Kedua, aspek kesedaran tentang bahaya lumba haram kepada keselamatan diri perlu bermula di peringkat sekolah. Golongan ini perlu disedarkan tentang implikasi buruk jika mereka terlibat dalam kemalangan akibat lumba haram.”

Ini katanya, program penerangan tentang insiden kemalangan akibat lumba haram perlu kerap diadakan dari semasa ke semasa.

“Ketiga, penguatkuasaan terhadap bengkel melakukan pengubahsuaian motosikal untuk lumba haram. Suatu mekanisme dalam mengenali bengkel tidak bertanggungjawab seperti ini perlu diwujudkan.

“Keempat, peranan keluarga adalah amat penting. Mereka perlu didedahkan dengan maklumat yang berkaitan. Antaranya ciri-ciri sebuah motosikal yang kebiasaannya telah diubah suai untuk digunakan dalam lumba haram.

“Dengan demikian ibu bapa dapat memantau kemungkinan anak mereka terlibat dalam lumba haram. Kita tidak boleh berlengah lagi dalam mendepani gejala ini secara total. Setiap nyawa adalah amat berharga,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.