Perak Tidak Laksana Projek Perlombongan Nadir Bumi Jika Bahaya Keselamatan Manusia

IPOH, 19 Julai – Kerajaan Negeri Perak mengulangi ketegasannya untuk tidak membenarkan projek rintis perlombongan lantanida iaitu sejenis nadir bumi di Hulu Perak dilaksanakan jika bahan itu berkaitan sumber radioaktif atau kimia yang membahayakan keselamatan manusia.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek perintis itu akan melalui tapisan dan pemantauan termasuk dihentikan sekiranya hasil yang diekstrak didapati menyebabkan mudarat kepada kawasan sekitar serta penduduk berhampiran.

“Yang dibimbangi adalah bahan kimia amonium sulfat yang terkandung dalam baja itu. Kita tidak boleh meracun (menggunakannya) kerana ia akan masuk ke dalam tanah dan meresap ke merata tempat dan meracun padi, tanaman, cili, semua muka bumi dan bila hujan ia masuk ke dalam sungai dan sebagainya.

“Sekiranya projek ini mendatangkan keuntungan dan pendapatan kepada negeri dan rakyat, kita tidak akan lepaskan peluang itu kerana negara lain sudah buat dan kita tegas tidak langgar mana-mana peraturan dan SOP ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) yang bimbang terhadap proses penapisan enam jenis mineral projek itu yang didakwa amat berbahaya dalam sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Saarani berkata mineral seperti pasir silika, kaolin, bijih timah dan tanah liat adalah merupakan antara mineral strategik yang memberi sumbangan relevan kepada statistik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Perak termasuk sebanyak RM238 juta bagi tahun 2019 hingga 2021.

Kepada soalan asal Yahaya Mat Nor (Amanah-Pasir Panjang) yang ingin tahu status projek berkenaan yang didakwa dalam kawasan sensitif alam sekitar dan menyalahi undang-undang ditetapkan, Saarani berkata ia tidak akan dilaksanakan dalam kawasan hutan simpanan kekal (HSK) seperti dalam syarat ditetapkan untuk aktiviti perlombongan.

“Pendirian kita jelas dan tegas bahawa kita tidak benarkan projek ini dilangsungkan jika bahan itu adalah sumber bahan radioaktif. Projek ini juga dalam kawasan atau tanah hak milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC). Ia mesti dilakukan dalam lingkungan kawasan yang dibenarkan iaitu di luar kawasan Central Forest Spine (CFS) (CFS adalah tulang belakang rangkaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

“Kita kena akur dengan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA),” katanya dan turut mengulangi pendirian bahawa projek perintis ini hanya akan dilaksanakan selepas semua kelulusan diperoleh antaranya Kebenaran Merancang (KM), Penilaian Impak Sosial (SIA), Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan Tanah dan Sedimen (ESCP).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini dilapor berkata dokumen SOP projek itu dibangunkan secara komprehensif membabitkan penelitian peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri dan turut dinilai sebuah Jawatankuasa Eksekutif dianggotai oleh pakar dalam bidang perlombongan, hidrologi, hidrogeologi dan pembangunan lestari. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.