Kecuaian Pentadbiran PH Punca Kedaulatan Negara Tercalar – Adzly Abd Manas

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Semasa 22 bulan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kedaulatan negara tercalar sehinggakan kehilangan beberapa aset negara seperti Pulau Batu Putih, aset Petronas di Azerbaijan dan yang terbaharu, tuntutan ke atas Pulau Pisang.

Aktivis masyarakat dan peguam, Adzly Abd Manas berkata, Peguam Negara pada waktu itu, Tan Sri Tommy Thomas turut mengakui bahawa beliau cuai dalam menguruskan kes tuntutan tersebut malah mencatatnya di dalam memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

“Mereka (Kesultanan Sulu) gunakan saluran undang-undang. Perkara ini berlaku semasa 22 bulan PH memerintah dan Tommy Thomas ialah peguam negara pada ketika itu. Siapa Tommy Thomas ni tuan-tuan? Dia ni peguam Chin Peng, komunis dahulu.

“Kita berjuang untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada komunis yang diketuai oleh Chin Peng, itu yang dilantiknya jadi peguam negara. Ini dah tak betul,” katanya semasa forum Wacana Aspirasi Ummah (WAU) yang diadakan di Bangi, pada Ahad.

Menurutnya lagi, sekiranya kita tidak mempertahankan tuntutan terhadap Pulau Pisang, ini akan menjejaskan kedaulatan negara.

“Rumah api ini merupakan sempadan negara kita. Begitu juga dengan Pulau Batu Putih. Apabila Pulau Batu Putih kita tidak rayu, nelayan kita tidak boleh masuk mencari makan di kawasan tersebut kerana akan dihalau oleh tentera bahkan pengkalan tentera juga ada di situ. Bagaimana nelayan-nelayan kita yang berada di pesisir pantai Johor nak makan?

“Apa perlu kita buat? Kita kena pergi ke bawah kerana apabila kita ke bawah bersama dengan rakyat, bersama dengan masyarakat, bersama dengan persatuan dan ahli tuan-tuan, terangkan dan terapkan semangat kenegaraan. Kita sama-sama tekan kerajaan yang sedia ada ini supaya pastikan kita menang kes-kes ini. Sebab ini adalah maruah kita,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.