PKR Tamak Kuasa Demi Puaskan Kepentingan Sendiri – Azhari

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan PKR semakin jelas menonjolkan sisi gelapnya yang tamakkan kuasa demi kepentingan sendiri.

Menurutnya ini kerana Timbalan Presiden baharunya, Rafizi Ramli menerusi ucapan pada kongres nasional parti itu berkata salah satu cara untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dengan memenangi pilihan raya.

“Memang betul apabila Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas mereka telah berjaya membebaskan Anwar dari penjara.

“Anda semua boleh menilai apabila berkuasa mereka boleh lakukan apa sahaja hatta yang sudah dipenjarakan pun boleh dibebaskan apalagi yang baru hendak disabitkan kesalahan.

“Mereka juga boleh sabitkan kesalahan secara terpilih kepada ahli politik tertentu jika individu tersebut tidak mengikut… ada juga kes rasuah yang mereka gugurkan sebelum dibicara dan banyak lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Azhari lagi situasi ini berbeza dengan UMNO kerana meskipun Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan Perdana Menteri namun beliau tidak mencampuri urusan mahkamah.

“Kes mahkamah yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak masih berjalan dan pemimpin-pemimpin UMNO ini menyatakan untuk terus membuat pembelaan diri dan meneruskan proses mahkamah untuk membuktikan mereka tidak bersalah.

“Dari sini kita dapat lihat. Siapa sebenarnya yang menyalahguna kuasa?
Hati-hati dengan hasutan Rafizi. Saya harap UMNO akan berjaya menangkis segala hasutan-hasutan yang dibuat oleh Rafizi.

“Menariknya yang sumbat Anwar ke dalam penjara adalah Tun Dr Mahathir Mohamad tapi demi kuasa mereka sanggup terima Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“Lepas tu Tun Mahathir letak jawatan sebab nak elak Anwar jadi Perdana Menteri, pening semua orang,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.