Pelabur Mahukan Politik Negara Yang Stabil – Ahmad Maslan

Bangi, 18 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, negara memerlukan kestabilan dalam usaha menarik pelaburan ke negara ini  dan perkara berkenaan dapat dicapai menerusi pilihan raya.

Menurut beliau banyak pelaburan luar termasuklah  pelaburan  daripada China yang mahu datang ke Malaysia tetapi mereka mahukan kedudukan politik yang stabil.

“Mereka mengharapkan agar Malaysia ini kembali seperti dulu, mudah, tak berubah-ubah seperti HSR iaitu High Speed Rail.

“Masa zaman Datuk Seri Najib, dari Singapura ke Kuala Lumpur. Kemudian ditangguhkan. Selepas itu, diubah lagi dan tidak jadi ke Singapura.

“Sedangkan Singapura itu berpuluh juta pelancong boleh datang ke Malaysia  yang mana perjalanan menerusi HSR  hanya dalam masa 90 minit,” katanya dalam forum Wacana Aspirasi Ummah di sini, Sabtu.

Wacana berkenaan  selain menampilkan Datuk Seri Ahmad Maslan, Tokoh Sejarah Datin Paduka Dr Ramlah Adam dan Aktivis Masyarakat, Adzly Abd Manas turut sama  menjayakan program berkenaan di Bangi.

Program berkenaan dihoskan Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid. Turut serta Ketua UMNO bahagian Bangi, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain.

Tambah Ahmad  Maslan lagi, apabila suasana negara stabil, semuanya akan pulih seperti sediakala.

“Apabila  pilihan raya cepat, dan  Malaysia berada dalam kedudukan stabil, insya Allah politik dan ekonomi akan kembali dengan lebih baik,” katanya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.