Orang Melayu Terhutang Budi Kepada UMNO, Bawa Anak Bangsa Ke Universiti – Ramlah Adam

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Kemasukan anak-anak Melayu ke universiti selepas peristiwa 13 Mei adalah disebabkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan orang Melayu terhutang budi kepada UMNO disebabkan perkara itu, kata tokoh sejarah, Datuk Dr Ramlah Adam.

Jelasnya, anak-anak Melayu telah dimajukan dengan pendidikan tinggi sehinggalah DEB dihapuskan, tetapi tetap diteruskan dalam semangat yang lain pada tahun 1990 sehingga zaman bekas perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Jadi bagi saya, orang Melayu sebenarnya terhutang budi kepada UMNO. Siapa UMNO ini? UMNO merupakan gabungan ahli persatuan-persatuan profesional dan juga pentadbir-pentadbir kerajaan misalnya Persatuan Kebangsaan Melayu Selangor, yang dipimpin oleh Datuk Hamzah, Menteri Besar Selangor yang pertama sebelum pilihan raya diadakan.

“Gabungan ini turut menggabungkan orang-orang bekerja di jabatan kerajaan untuk bersatu dalam satu gabungan dan persatuan untuk membela kepentingan orang Melayu,” katanya semasa forum Wacana Aspirasi Ummah (WAU) yang berlangsung di Bangi semalam.

Menurut Ramlah lagi, peranan orang Melayu sebagai pentadbir ini bukan sahaja untuk melaksanakan dasar-dasar yang dibuat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Persekutuan.

“Mereka juga mempunyai kesedaran nasionalisme, kesedaran politik untuk membela, memaju dan mencadangkan perkara-perkara pokok yang menjadi dasar untuk membangunkan negara Melayu.

“Jadi UMNO, ataupun pada Bahasa Melayunya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) itu telah bekerja untuk orang Melayu dari dulu melalui persatuan-persatuan negeri dan persatuan-persatuan lain seperti Persatuan Penghulu Selangor dan Kaum Darat Selangor yang telah memberikan kesedaran bahawa tanpa sokongan kaum Darat atau Orang Asli Selangor, UMNO atau PEKEMBAR itu tidak dapat ditubuhkan.

“UMNO ditubuhkan dengan 41 pertubuhan daripada seluruh negeri, dari Perlis sehingga ke Singapura. Apabila UMNO ditubuhkan di Johor Bahru, dan membuat piagam UMNO di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946, terdapat 29 persatuan atau NGO yang telah turunkan tanda tangan untuk tubuhkan UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.