Jentera Penerangan UMNO Benteng Pertama Menjelang PRU 15 – Shahril Hamdan


IPOH, 18 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berpandangan jentera Penerangan UMNO adalah benteng pertama yang perlu siap siaga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang akan diadakan bila-bila masa.

Ini kerana katanya jentera Penerangan yang akan menjawab dan membalas segala isu serta permasalahan yang akan dimainkan oleh pembangkang.

“Kita sebagai benteng Penerangan UMNO ini hendaklah ‘respon’ dan menjawab kepada serangan-serangan yang semakin lama akan semakin bertubi-tubi. Penerangan UMNO adalah baris pertama untuk memastikan bahawa persiapan UMNO sebaiknya.

“Kita kena menang besar pada akhir ‘liga’ nanti. Tak guna kalau menang besar tapi kecundang di garis penamat. Nak menang ‘final game’ kena ada persiapan rapi.  Takkan di ambang masuk perlawanan akhir nak buat saringan dalaman. Kita nak tukar siapa… ‘manager’ kita? Nak tukar ‘keeper’, ‘striker’ dan kena bincang sesuai atau tidak duduk di posisi tersebut.

“Kita jangan salah orang pada ‘game final’ ini dan tiba-tiba kecundang. Salah kita sendiri kerana tidak boleh sepakat maka kita perlu terus lakukan persiapan dan pastikan menang dalam perlawanan akhir nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kursus Komunikasi Strategik UMNO Negeri Perak pada Sabtu.

Turut hadir Ketua penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkifli Harun; Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri, Datuk Zalina Abdul Majid; Ketua Penerangan Puteri UMNO Negeri Perak, Norazura Abdul Karim dan Ketua Penerangan empat peringkat seluruh bahagian negeri Perak.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap agar seluruh jentera Penerangan UMNO dapat memberi tumpuan untuk PRU akan datang.

“Tumpu tenaga pada piliha nraya dahulu sebelum pemilihan parti. Itu yang dipastikan dan sekurang-kurangnya isyarat itu sudah keluar melalui program seperti ini.

“Kita hendak menyakinkan pengundi sama ada baik dalam parti mahupun di luar parti, macam mana hendak kongsi info dan menyampaikan maklumat yang boleh memenangkan parti UMNO dalam pilihan raya. Perjumpaan ini sangat sesuai untuk tumpukan matlamat dan membantu parti menang pilihan raya,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.