Jangan Leka, Sama-Sama Tumpu Gerak Kerja PRU Akan Datang- Mohd Zaidi

BANGI, 17 Julai – Kita tidak boleh bersenang-lenang pada waktu sekarang ini kerana gendang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan dipalu pada bila-bila masa sahaja, kata Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain.

Justeru beliau mengajak ahli parti untuk sama-sama bekerja serta berpadu tenaga dalam usaha membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan kelak.

“Sama-samalah kita bekerja, jentera UMNO ini saya selalu ibaratkan dengan enjin kereta yang mana kalau tiada enjin, kereta apa pun tidak boleh hidup.

“Tetapi kalau ada enjin, tiada tayar, enjin menderulah macam Mana sekalipun, kereta takkan bergerak. Jadi NGO disini adalah umpama ‘tayar-tayar’ kita,” katanya ketika merasmikan Program Wacana Aspirasi Ummah (WAU) di sini, hari ini.

Wacana berkenaan menampilkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Tokoh Sejarah Datin Paduka Dr Ramlah Adam dan Aktivis Masyarakat, Adzly Abd Manas. Program berkenaan dihoskan Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid.

Mohd Zaidi pada masa yang sama turut merayu agar orang ramai bersama-sama dengan UMNO untuk memastikan parti berkenaan memperoleh kemenangan.

“Anda semua adalah dialu-alukan dan kami merayu bersamalah dengan UMNO untuk memastikan kemenangan besar BN dalam PRU-15  nanti.

“Kita dah serik dah selama 22 bulan bersama dengan PH, apa sahaja kemudahan yang diberikan BN ditarik balik, dan kita mahu berikan semula kemudahan tersebut kepada rakyat,” katanya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.