Cabaran Besar Hadapi Pengundi Muda PRU Akan Datang – Zolkifli

IPOH, 17 Julai – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Zolkifli Harun yakin dengan komitmen yang diberikan oleh jentera parti termasuklah jentera Penerangan UMNO negeri itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Jelas beliau pendekatan yang paling utama dan penting adalah hala tuju terhadap pengundi muda yang dapat memberikan sokongan kepada UMNO/ Barisan Nasional (BN).

“Kali ini akan berhadapan dengan pengundi muda yang ‘zero’. Mereka tidak ambil tahu dan tidak tahu ke arah mana untuk mereka berikan sokongan dalam PRU ke 15. Ini adalah satu cabaran yang besar kepada penceramah-peceramah, pemidato di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Apa yang hendak disampaikan kepada pengundi agar masing-masing dapat memahami dengan sebenar-benarnya. Apa yang hendak disampaikan adalah perkara benar dan bukannya persepsi semata-mata.

“Apakah bentuk dan cara untuk diperjelaskan supaya setiap pengundi dapat memahami dan menerima apa yang hendak disampaikan. Apa yang hendak disampaikan adalah menarik sokongan pengundi kepada UMNO/BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kursus Komunikasi Strategik UMNO Negeri Perak di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan, Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Datuk Zalina Abdul Majid, Ketua Penerangan Puteri UMNO Negeri Perak, Norazura Abdul Karim dan Ketua Penerangan empat peringkat seluruh bahagian negeri Perak.

Zolkifli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang berkata Penerangan adalah salah satu jentera yang amat penting bagi menghadapi pilihan raya.

“Jentera Penerangan UMNO Perak dalam keadaan siap siaga pelbagai peringkat malah insya Allah akan terus diperkasakan lagi.

“Apa yang lebih penting persiapan kita memerlukan keupayaan, kebijaksanaan untuk memberikan penjelasan dan Penerangan berkaitan dengan isu-isu semasa khususnya pada pengundi,” ujarnya. – UMNO Online



@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.