Konten Komedi Crackhouse Hina Islam Dan Melayu, Terlalu Biadab – Azhari

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan Kelab Komedi Crackhouse keterlaluan dalam menyampaikan konten hiburan mereka.

Katanya, ini dapat dilihat berdasarkan video-video tular yang memperlihatkan beberapa individu mempersendakan agama Islam dan Melayu.

“Apabila dilihat lawak-lawak yang dibuat oleh pengasas kelab komedi ini memang terlalu banyak kandungan dia yang mempersendakan Islam dan Melayu.

“Lihatlah sendiri di gambar-gambar di bawah sedikit sahaja yang saya letak.

“Belum lagi video-video lawak dia yang mempersendakan Islam dan Melayu yang melampau. Terlalu Biadap!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau bagaimanapun meluahkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertindak tegas menutup operasi kelab komedi tersebut.

“Amat tepat DBKL menutup kelab komedi tersebut namun diharap penguatkuasa ambil tindakan tegas terhadap dia ini kerana boleh mewujudkan ketidaksenangan awam di atas kandungan yang dia lakukan.

“… kepada Afdlin Shauki tahniah kerana anda sudah sedar dan tidak mempertahankan kelab komedi yang dimiliki oleh rakan anda.

“Anda perlu tegur rakan anda bukan mempertahankan apabila rakan anda buat silap mempersendakan Islam,” ujar beliau.

Terdahulu pada semalam polis menahan pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse itu bagi membantu siasatan berhubung insiden menghina agama Islam baru-baru ini.

Minggu lalu tular video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita berpakaian sopan menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan komedi solo

Susulan insiden berkenaan, wanita berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada 9 Julai lalu manakala teman lelakinya turut ditahan pada 10 Julai. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.