Tiada Isu Berkenaan Perjanjian, Pelantikan TPM Hak Prerogatif PM… Tuntutan PPBM Tak Relevan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai hak prerogatifnya termasuk membabitkan urusan pelantikan jawatan dalam Kabinet.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan penularan keratan perjanjian persefahaman yang menyentuh berkenaan jawatan Timbalan Perdana Menteri milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Perjanjian yang tular itu ada dua bahagian, pertama ialah lantikan yang diminta sedangkan itu adalah prerogatif ataupun hak istimewa seorang Perdana Menteri.

“Jadi terpulang pada dialah kerana mengikut kebiasaan Perdana Menteri sebelum-sebelum ini tidak merujuk kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Mengenai pilihan raya dikatakan pada Julai 2022 atau tarikh yang lain perlu dirujuk ucapan Perdana Menteri di Konvensyen Barisan Nasional (BN) bahawa beliau akan merujuk ‘top five’ iaitu presiden, timbalan dan naib-naib presiden.

“Malah beliau juga menyebut mengenai MKT dan Dewan Tertinggi BN itu yang disebut PM mengenai tarikh pilihan raya… itu janji beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Korban Perdana Ibu Pejabat UMNO dan Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Aidiladha 2022 di sini, semalam.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian juga sekali lagi membidas PPBM sambil menegaskan bahawa tuntutan itu tidak relevan kerana mereka sudah memegang dua menteri kanan dalam Kabinet ketika ini.

“PPBM sudah ada dua menteri kanan sedangkan kita dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya ada seorang menteri kanan.

“Saya kira pada ketika dan saat ini ia tidak sesuai tetapi terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri mengenai perkara itu.

“Walaupun demikian bagi saya ia tidak wajar kerana mereka pun tinggal 30 kerusi manakala Barisan Nasional ada 42,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.