Perjanjian Pelantikan TPM Bukan Isu, Fokus UMNO Berganding Bahu Untuk PRU15

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman berkata, sekiranya benar surat perjanjian berkaitan isu Timbalan Perdana Menteri antara Naib Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin wujud, orang UMNO sepatutnya bersyukur kerana ia berjaya menggagalkan Statutory Declaration (SD) yang cuba dibuat ketika itu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau, ini adalah satu bukti kebijaksanaan Ismail Sabri dalam merancang strategi bagi memastikan UMNO kembali mentadbir negara.

“Kita sepatutnya bersyukur kerana yang menjadi Perdana Menteri sekarang ini adalah orang dari parti kita. Sejak Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, ramai pemimpin UMNO juga dilantik memegang jawatan dalam GLC. Ini jelas menunjukkan bahawa Ismail Sabri tidak pernah membelakangkan parti. Beliau benar-benar orang parti.

“Kita juga patut sokong dan membantu beliau dalam mentadbir negara. Mengapa kita perlu bercakaran sesama sendiri dan memberi peluru kepada orang luar untuk hentam kita? Adakah kita suka melihat orang luar tepuk tangan melihat kita bergaduh sesama sendiri?

“Kita kena ingat perjuangan dan objektif kita adalah untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti. Kita mahu kembali berkuasa dan bukannya menjadi kerajaan campuran seperti sekarang,” tegas beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Saiful Yazan, UMNO perlu belajar dari kesilapan dahulu dan kini apabila parti keramat ini kembali mendapat kepercayaan rakyat, janganlah sesekali menembak rakan sendiri hanya kerana kepentingan peribadi.

“Jangan kita lupa 22 bulan yang sangat menyiksakan. Kita harus berganding bahu dan memberi sokongan antara satu sama lain demi memastikan kemenangan dalam PRU-15 nanti,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.