Menu Keluarga Malaysia Di IPT Perlu Ambil Kira Kepelbagaian Komposisi Kaum

PUTRAJAYA, 14 Julai – Menu Keluarga Malaysia bernilai RM3.50 di bawah inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia, hendaklah bersesuaian dan mengambil kira kepelbagaian komposisi kaum di institusi pendidikan tinggi (IPT), kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Noraini dalam kenyataan hari ini berkata ia adalah antara keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia pada Selasa lepas (12 Julai), yang turut dihadiri pengurusan tertinggi atau wakil universiti awam (UA), institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dan Majlis Perunding Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Beliau berkata Pasukan Pemantau Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Kos Sara Hidup Siswa (KPTPantau) juga akan melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kenaikan harga atau kos barangan dan perkhidmatan yang melibatkan sara hidup siswa di IPT.

Mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju bahawa satu pelan tindakan yang holistik, sinergi dan mampan akan dibangunkan sebagai panduan kepada IPT dalam usaha memperkasa kebajikan siswa, katanya.

“Selain daripada aspek kos makanan, pelan ini turut mengambil kira konteks sara hidup siswa yang lebih luas. Ini termasuklah aspek keperluan pengajaran dan pembelajaran seperti pelan data dan peranti, penginapan, pengangkutan dan yuran,” katanya.

Noraini berkata mesyuarat jawatankuasa itu bersetuju inisiatif Food Bank Siswa diperkasa menerusi penubuhan hab Food Bank Siswa yang akan berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan barang keperluan siswa.

Enam hab akan ditubuhkan mengikut zon iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur, Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak dan sebagai projek rintis, katanya, Universiti Kebangsaan Malaysia bersetuju untuk beroperasi sebagai hab bagi Zon Tengah.

Noraini berkata mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju kadar upah bagi Program Job on Campus (JoC) di peringkat IPT diteliti semula agar selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2022.

“Pihak IPT turut disaran untuk meningkatkan jumlah penempatan JoC supaya lebih ramai pelajar, khususnya golongan berkeperluan dibantu dan memperoleh manfaat menerusi program tersebut,” katanya.

Noraini berkata KPT akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Kewangan bagi melihat kebolehlaksanaan pemberian rebat atau pengecualian cukai kepada para penyumbang yang menyalurkan tajaan dalam pelbagai bentuk berkaitan keperluan siswa, termasuklah bantuan tunai, barangan atau perkhidmatan.

“Ini bagi menggalakkan kolaborasi bersama pihak korporat, industri dan juga orang perseorangan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.