Crackhouse Perlu Diambil Tindakan Tegas, Tutup Terus! – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap Kelab Komedi Crackhouse wajar diambil tindakan tegas dengan tidak membenarkan ianya beroperasi kembali.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana individu yang terlibat dalam mempersendakan agama Islam bukan hanya seorang.

“Pemuda UMNO tetap berpendirian tegas, kelab ini wajib ditutup terus! Isu Crackhouse bukan hanya melibatkan perbuatan seorang wanita sahaja. Cubalah tengok di Youtube.

“Bukan sekali dua tapi bersiri-siri lawak jenaka dan komedi yang menyindir, meremeh dan memperlekeh Islam dan secara halus juga mempersendakan kaum tertentu berterusan diadakan melalui pentas kelab ini.

“Apa-apapun tahniah buat pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana pantas bertindak dengan menyita premis tersebut,” katanya menerusi satu hantaran.

Tegas Dr Asyraf, rakyat Malaysia sememangnya terguris dengan tindakan pihak terbabit apatah lagi perbuatan mempersendakan agama Islam menerusi lawak jenaka di hadapan khalayak penonton.

“Apakah kita rela kesucian agama Islam dipersendakan sewenangnya atas nama hiburan, kebebasan bersuara ataupun seni jenaka?

“Apa keperluan buat perbandingan dangkal dengan mengaitkan dan disamakan pula dengan pendekatan ceramah agama?” soal beliau.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang wanita Siti Nuramira Abdullah mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya di premis berkenaan.

Beberapa hari kemudian, muncul pula beberapa video pengasas bersama kelab komedi tersebut, Rizal Van Geyzel mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan kaum Melayu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.