Tragedi Baling: Akauntabiliti Perkara Utama, Wujudkan Jawatankuasa ‘Bipartisan’, Tolak Salah-menyalah

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berpandangan di dalam isu banjir yang melanda Baling baru-baru ini akauntabiliti adalah perkara yang besar dan kritikal serta ia mesti dibongkar dan dijawab kerana rakyat berhak mengetahuinya dengan lengkap dan telus.

Namun tegasnya, pembongkaran dan pendedahan tidak boleh dikutip melalui lidah dan lensa ahli politik atau mereka yang terlibat kerana akan wujud konflik kepentingan yang jelas.

“Perkara ini mesti dikelola dan diuruskan oleh entiti yang bebas, tegas dan berkelayakan. Selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seperti yang disarankan oleh banyak badan bukan kerajaan (NGO), adalah wajar sekiranya diwujudkan juga sebuah jawatankuasa khas ‘bipartisan’ untuk meneliti secara mendalam punca bencana ini.

“Jawatankuasa ini perlu menggandingkan kedua-dua wakil kerajaan dan pembangkang serta entiti bebas dari luar agar ia lebih berfungsi dan berkesan.

“Cuma, pada saya, selain mencari kebenaran, jawatankuasa bipartisan bebas ini mesti turut memberi cadangan kepada kerajaan negeri berhubung penambahbaikan tatacara kelulusan dan prosedur operasi standard (SOP) pembalakan, atau apa-apa sahaja projek besar kerajaan negeri yang mempunyai impak alam sekitar yang serius,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah jelasnya lagi, saranan dan cadangan penambahbaikan ini mestilah dibentang dan dibahaskan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Yang perlu menjadi dasar, gazetkan. Yang perlu menjadi peruntukan mandatori, masukkan dalam enakmen negeri. Jika tidak, kita hanya akan (sekali lagi) ditinggalkan dengan laporan demi laporan oleh pelbagai jawatankuasa yang ditubuhkan setiap kali bencana berlaku.

“Apabila dibentang dan dibahaskan di dalam DUN dan dijadikan polisi atau peruntukan enakmen negeri, maka siapa pun, atau parti mana pun yang mentadbir Kedah kelak, akan terikat ketat dengan prosedur, undang-undang dan amalan yang baik,” cadangnya.

Justeru katanya, rakyat Kedah mesti bangkit beramai-ramai menuntut perkara ini.

“Tanpa dikaburi oleh ideologi politik mahupun kesetiaan kepada mana-mana pihak parti. Kita mesti menyampaikan mesej kepada semua ahli politik dan pemimpin, dari segenap parti politik, bahawa mentadbir negeri adalah amanah besar. Ia mesti dilakukan dengan meletakkan kepentingan negeri pada keutamaan tertinggi.

“Berhentilah menjadi pemimpin yang berfikir pada lingkungan sendiri sahaja. Berhentilah menjadi pemimpin yang hanya memikirkan tentang siapa yang betul dan salah sahaja. Ini adalah masa untuk menggunakan peluang memberikan yang terbaik kepada negeri yang dipimpin. Jika tidak, yang rugi adalah Kedah sendiri,” tegasnya.

Ulasnya juga, sudah sangat dijangkakan sebaik sahaja banjir di Baling mulai surut, tuding-menuding mula membengkak.

“Datuk Seri Muhammad Sanusi menyalahkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Manakala Datuk Seri Mukhriz menyalahkan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Masing-masing menuduh projek menanam durian besar-besaran Ladang Rakyat yang didakwa sebagai punca banjir teruk di Baling adalah kesan tindakan dan keputusan Menteri Besar dari parti lain sebelum mereka.

“Siapa yang cadangkan, siapa yang luluskan, siapa pula yang mula menanam. Kesemua ini adalah soalan ‘afterthought’ yang tidak pun memberi apa-apa kebaikan kepada mangsa dan mereka yang terlibat.

“Hakikatnya, nasi sudah menjadi bubur. Yang perlu lebih kita hiraukan adalah mereka yang suka membaling batu, sembunyi tangan. Tidak kurang yang menangguk di air keruh (keruh benar air banjir di Baling kali ini),” katanya.

Semua ini tambahnya sekali lagi menjadi petunjuk ketidakmatangan pemimpin-pemimpin Kedah.

“Kegagalan mereka, biar dari parti mana pun, untuk mengambil pertanggungjawaban sangat memualkan. Tidak ada seorang pun yang berani tampil sebagai ‘a gentleman with balls’. Masing-masing menikus dan galak menyalahkan orang lain.

“Sedangkan Kedah bukanlah negeri yang kontang. Kawasannya subur. Rakyatnya rajin dan bekerja keras. Kedudukannya strategik. Potensinya besar.

“Namun kesemua itu tidak membuahkan hasil yang jelas dan dapat benar-benar dinikmati oleh rakyat. Kesemuanya gagal dirancang, diurus dan dimanfaatkan dengan baik serta matang orang pemimpin negeri. Masing-masing terlalu ghairah menghentam orang lain. Sehingga agenda pembangunan negeri yang sebenar sedikit pun tidak diberikan perhatian,” bidasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.