Seharusnya Selesaikan Masalah Rakyat, Bukan Gila Jawatan TPM – Razlan Rafii
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii berkata sepatutnya bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendesak jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, sewajarnya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin harus merasai denyutan nadi rakyat dan dapat meringankan kos beban yang ditanggung selama ini.
“Tindakan Muhyiddin mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan jawatan kepada PPBM adalah tidak bermaruah. Sepatutnya dalam menghadapi cabaran hidup, parti-parti politik ini kena bersama melihat untuk menyelesaikan masalah rakyat dan meringankan beban rakyat sebaliknya pada masa yang sama apa yang diminta oleh PPBM ini sudah melampui batas.
“Mereka (PPBM) mendesak Perdana Menteri untuk menukar Zuraidah Kamaruddin kepada kuota PPBM. Sebenarnya apabila beliau keluar dari PPBM maka ini tidak ada kena mengena dengan kesilapan kerajaan. Ini tidak ada kena mengena dengan kesilapan kabinet. Ianya kesilapan politik di dalam PPBM dan sepatutnya mereka selesaikan masalahnya.
“Apa yang saya lihat hari ini PPBM sengaja untuk menekan kerajaan dan meminta jawatan ini adalah untuk kepentingan sendiri. Ini adalah perkara yang tidak boleh dihormati dalam keadaan rakyat sebegini,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.
Tegas Razlan, apa yang dibuat Muhyiddin sebenarnya ibarat ‘gunting dalam lipatan’ iaitu muslihat PPBM sebenarnya hendak melihat UMNO ini boleh dilemahkan melalui hal terbabit.
“Tindakan PPBM tidak pernah berhenti untuk melemahkan UMNO dan porak-perandakan UMNO dan akhirnya mereka akan mendapat nikmat daripada krisis di dalam UMNO.
“Kalau nak jadi Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sudah tentunya mesti ada satu ruang masa untuk mengenali dan mengadaptasi apa-apa saja polisi bagi jawatan terbabit,” katanya lagi.
Persoalannya apakah niat sebenarnya PPBM meminta jawatan ini?
“Adakah ianya berkisar kepentingan parti dan individu serta tidak langsung memikirkan kehendak rakyat?”
Jelasnya, sewajarnya Pilihan Raya Umum (PRU) harus diadakan cepat dan tidak perlu ditangguh lagi.
“Saya tidak jangka PRU ini sepatutnya kena tangguh dan menyerahkan kepada ‘top five’ untuk menentukan tarikh PRU. Sebelum ini masa Kementerian Dalam Negeri (KDN) pernah mengusulkan akan tetapi disabotaj oleh pihak pembangkang dan perkara sebegini tidak mustahil akan berlaku.
“Sabotaj yang dilakukan oleh pembangkang semasa belanjawan dibentangkan dan ia menunjukkan kerajaan ini tidak mempunyai majoriti yang besar. Sekiranya apa-apa terjadi di dalam Parlimen yang akan datang sudah pastinya mencalarkan imej kerajaan dan keyakinan rakyat pada kerajaan yang sedia ada,” ujarnya.
Tegasnya lagi, eloklah PRU ini diadakan bila-bila masa sesuai di dalam tahun ini. – UMNO Online