Korban Perdana Simbolik Perpaduan Kakitangan Ibu Pejabat UMNO, WTC – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meluahkan kesyukuran dengan kejayaan penganjuran majlis Korban Perdana Ibu Pejabat UMNO dan Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Aidiladha 2022 di sini.

Katanya, majlis seumpama ini memberikan signifikannya tersendiri kerana ianya medan terbaik bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan kakitangan yang menjadi pendukung kepada parti keramat ini.

“Saya juga turut gembira kerana majlis seperti ini nampaknya ada kesepaduan antara kakitangan, ia adalah suatu yang kita harapkan.

“…ia adalah suatu suasana yang bersejarah dan kita harap ibadah korban ini akan diterima oleh Allah SWT.

“Saya juga berharap agar korban perdana yang melibatkan tiga kumpulan staf iaitu ibu pejabat UMNO, Barisan Nasional (BN) dan WTC akan dapat kita adakan pada masa-masa yang akan datang, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan agihan daging korban.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut sama melahirkan penghargaan atas kehadiran kepimpinan parti iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan lain-lain.

Turut sama hadir adalah Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.

Majlis yang bermula pada pukul 7.30 pagi itu melibatkan seluruh kakitangan Ibu Pejabat UMNO, BN dan WTC diadakan secara gotong-royong dan pengagihan dilakukan sejurus selesai majlis tersebut oleh Ahmad Zahid serta barisan kepimpinan UMNO yang lain sebagai simbolik awal pengagihan.

Majlis tahlil dan doa kesyukuran turut diadakan yang diakhiri dengan jamuan makan tengahari bersama para petugas serta seluruh kakitangan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.