Anggap Manifesto Bukan Janji Tapi Tidak Rasa Malu Tuntut Jawatan TPM, Menteri – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas penulis Manifesto Pakatan Harapan (PH) merangkap Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan yang dianggap sangat terdesak.

Katanya, semalam Wan Saiful letak jawatan Pengerusi PTPTN dan hari ini ugut Perdana Menteri tunaikan janji penuhi tuntutan PPBM untuk jawatan TPM dan menteri.

“Terdesak sangat penulis Manifesto PH merangkap Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan nak jadi Menteri agaknya.

“Beliau lupa dulu waktu tulis Manifesto janji macam-macam pada rakyat, tapi akhirnya tipu rakyat, bahkan boleh pula mengaku ‘Manifesto Bukan Kitab Suci’. Sedikit pun tidak rasa malu pada rakyat, sanggup pula pegang jawatan Pengerusi PTPTN, walhal janji PTPTN pun tipu rakyat.

“Hari ini ada hati bicara soal ‘janji’,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Selaras dengan itu, Dr Asyraf Wajdi menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu melayani karenah PPBM ini.

“Presiden PAS sendiri mengakui tiada perjanjian. Bahkan, PM sendiri tidak pernah memaklumkan kepada kepimpinan parti dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kewujudan sebarang bentuk perjanjian.

“Selaku Naib Presiden Kanan UMNO, beliau lebih bijaksana dan mengetahui hakikat bahawa sebarang perjanjian dengan pihak lain mesti dirujuk kepada parti.

“Lagi pun edah PRU15 sudah pun tiba. Jika ikhlas mahu stabilkan dan selesaikan masalah ekonomi yang membelenggu rakyat ketika ini, kembalikan mandat kepada rakyat.”

Katanya, biarlah rakyat buat ketetapan Kerajaan sebenar yang menjadi pilihan mereka.

“Bukannya Kerajaan Campuran/Hybrid seperti hari ini dengan karenah ugut-mengugut soal jawatan yang hakikatnya bukan daripada mandat rakyat,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.