Tolak Tindakan Pecah Belahkan Kepimpinan Antara PM-UMNO, Fokus Pulihkan Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Jika benar wujud perjanjian yang didakwa ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN)Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia akan menguntungkan UMNO kerana pemimpin utama negara adalah dari parti terbabit.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berhubung tular di media sosial berkaitan perjanjian sulit yang didakwa melibatkan Perdana Menteri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO bersama PN berkaitan jawatan Timbalan Menteri.

Ujar Dr Azhar, yang menjadi persoalan adalah kenapa hal terbabit menjadi persoalan sedangkan tumpuan ketika ini terarah kepada memulihkan negara selepas pandemik COVID-19.

Katanya, Perdana Menteri mengambil alih tampuk kepimpinan negara dalam keadaan yang teruk iaitu dengan pandemik dan ekonomi yang tidak stabil.

“Bila dah mula stabil, kenapa ada orang yang nak rosakkan dan cuba melaga-lagakan pemimpin UMNO. Sepatutnya hal terbabit telah pun diketahui kerana aka nada pihak yang cuba mencari kesempatan bagi memecahkan kebersamaan UMNO apatah lagi kita menekankan bersatu demi berdepan tugas lebih besar iaitu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Perdana Menteri sudah tegaskan banyak kali bahawa beliau orang parti jadi tak mungkinlah akan membelakangkan parti. Jadi hentikakanlah melaga-laga pucuk pimpinan. Tumpu kepada bangunkan negara dan bantu rakyat.

“Saya yakin Perdana Menteri tidak terikat dengan sebarang MoU dan perjanjian. Perdana Menteri tetap Perdana Menteri dan paling penting adalah Perdana Menteri adalah dari UMNO. Sudah pasti ia menguntungkan parti kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.