Ketua Armada Perlu Cermin Diri Sendiri, PPBM Yang Sebenarnya Gila Kuasa, Jawatan – Zaidy

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM/Bersatu) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sepatutnya mencermin diri sendiri sebelum menuduh UMNO sebagai gila kuasa.

Bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, yang gila kuasa dan tamakkan kuasa sebenarnya adalah PPBM sendiri yang asyik menagih serta menekan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya memberi mereka jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Tidak cukup dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri, mereka juga melobi supaya jawatan menteri Kabinet diberikan kepada parti mereka selepas Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi umum keluar Bersatu baru-baru ini.

“Presiden mereka juga, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga diberi jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara walaupun majlis itu ternyata gagal berfungsi di bawah kepimpinannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah katanya, akibat daripada sifat PPBM yang suka ugut-mengugut inilah menjadikan gabungan kerajaan seolah-olah tidak kuat.

“Rakyat serta pemerhati politik kita melihat kerajaan hari ini tidak stabil dan semua ini adalah kerana sikap Bersatu yang gemar melakukan ugutan kepada Perdana Menteri termasuk kononnya mereka ada kuasa untuk menekan butang dan sebagainya.

“Justeru, kami di Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan sependapat dan selari dengan seruan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mahukan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal bagi mengembalikan semula kestabilan kerajaan hari ini,” katanya.

Jelasnya, usahlah dinafikan hakikat bahawa kerajaan hari ini tidak stabil dan ramai pelabur bimbang untuk membuat pelaburan di negara ketika ini.

“Bukan kerana tidak percayakan kepimpinan Perdana Menteri, tetapi mereka tidak yakin dengan Bersatu yang sering gugat kestabilan.

“Ingatlah, kita perlu sentiasa letakkan agenda rakyat dan negara sebagai keutamaan. Bukannya, agenda parti dan pemimpin parti yang taksub dengan kuasa. Bubarlah segera, adakan PRU secepat mungkin demi negara yang lebih stabil,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.