Kerajaan Negeri Selangor Jangan Ambil Jalan Mudah Runtuhkan Stadium Shah Alam, Tegas Noh

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor Tan Sri Noh Omar mengingatkan Kerajaan Selangor supaya tidak mengambil jalan mudah meruntuhkan Stadium Shah Alam atas alasan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Ujar Ahli Parlimen Tanjung Karang itu dalam satu hantaran di Facebook, sebagai anak Selangor, Stadium Shah Alam mempunyai nilai sentimental kepada diriya dan juga rakyat Selangor.

“Stadium Shah Alam menjadi mercu tanda kepada Selangor dan menjadi kebanggan rakyat negeri ini. Ianya perlu dipertahan demi masa depan dan nilai sejarah tersendiri.

“Sebarang usaha merobohkan stadium terbabit hanya mengundang rasa kecewa rakyat Selangor,” katanya lagi di dalam satu info grafik di statusnya itu berkaitan perkara berkenaan.

Jelas Noh, beliau terlibat secara langsung semasa menjadi pegawai kepada bekas Exco Belia dan Sukan Selangor, Allahyarham Datuk Aziz Desa.

“Ketika itu Allahyarham selalu berbincang dengan bekas Pengerusi Majlis Sukan Negeri Tan Sri Zainal Dahlan.

“Jangan terlalu banyak berpolitik daripada meneruskan kesinambungan kerajaan terdahulu,” tegas Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Terdahulu, dilaporkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari tidak menafikan ada cadangan kerajaan negeri untuk merobohkan Stadium Shah Alam. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.